Erwin terbabit dalam drama Nafas. FOTO Ig ED
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


PELAKON Singapura, Erwin Dawson sanggup membotakkan kepalanya demi menjiwai watak sebagai pesakit kanser dalam drama bersiri terbitan ntv7, Nafas.

"Saya tiada masalah menjadi botak kerana ini kali pertama berlakon sebagai pesakit penyakit kronik bernama Amar.

"Lagi pun 11 tahun lalu, saya pernah membotakkan kepala kerana memasuki latihan khidmat negara," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Erwin atau nama sebenar Mohamed Erwin Shah Evan Dawson berkata dia turut mengurangkan berat badan sebanyak lima kilogram.

"Ini atas inisiatif sendiri serta permintaan produksi bagi menjayakan karakter dalam drama terbabit," katanya.

Menurut pengacara program bual bicara pagi Feel Good Show itu, watak Amar banyak mengetengahkan babak emosi.

"Di awal cerita, Amar dipaparkan sebagai seorang yang ceria. Namun, saya mendapati lakonan menjadi sedikit sukar apabila terdapat banyak babak sedih," katanya.

Turut berganding dengan Erwin dalam drama 24 episod itu adalah Kilafairy, Cristina Suzzane, Fahad An, Thanuja Ananthan dan Sarah Hildebrand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 6:56 PM