Farid Kamil berasa sangat puas. FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAKON, Datuk Farid Kamil mendedahkan ramai rakannya menjauhkan diri daripadanya akibat lantang bersuara menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di media sosial.

Farid berkata, tindakan berkenaan kerana mereka tidak bersetuju dengan pendirian dan perubahan yang ingin dibawa dalam negara kerana dianggap menentang kerajaan ketika itu.

"Diakui memang ramai rakan menjauhkan diri. Baru saya tahu siapa kawan dan lawan. Dari situ, jelas menunjukkan apa yang saya impikan dari segi perubahan dalam negara tidak mendapat sokongan rakan rakan dan orang sekeliling.

"Malah, selama ini saya langsung tidak menyedari mereka sebenarnya tidak menyokong saya. Namun, apabila kerajaan bertukar, mereka secara tiba-tiba mengirim ucapan tahniah," katanya kepada Harian Metro.

Farid ditemui pada sesi ramah mesra anak seni bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata, apa terjadi membuatkan dia lebih berhati-hati memilih rakan.

"Selama ini saya tidak pernah pilih kawan. Saya okey dengan semua orang. Tetapi, selepas terkena batang hidung sendiri, saya jadi lebih berhati-hati.

"Dalam kehidupan seharian, kita tidak pernah tahu siapa kawan sebenar," katanya.

Dalam masa sama, Farid menganggap apa sahaja tindakan termasuk bersuara di laman sosial adalah satu perjuangan.

"Kalau tidak cakap perkara betul, takkan ada perubahan berlaku. Jadi, apabila kerajaan baru memerintah saya berasa sangat puas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 5:28 PM