Azira (tengah) nafi berpecah dengan De Fam dianggotai Manggis dan Sophia (kiri). FOTO fail HM
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PENYANYI dan pelakon, Azira Shafinaz menafikan trio dianggotainya, De Fam di ambang perpecahan selepas mereka membawa haluan sendiri kebelakangan ini.

Azira, 27, mengakui mereka sibuk dengan kerjaya solo masing-masing namun mengenepikan dakwaan kumpulan itu tidak lagi aktif dan bakal dibubar.

“Tidak benar sama sekali. De Fam masih kukuh bersama dan anggota kami kerap mendapat undangan menjayakan pelbagai tawaran persembahan.

“Cumanya sekarang kami masing-masing, ada projek sendiri yang mana sebenarnya bagus untuk kelancaran karier masing-masing. Saya sibuk berlakon, Manggis sudah mula berlakon manakala Sophia muncul dengan lagu baru dengan Sakura Band.

“Barangkali kalau Manggis sudah memiliki cahaya mata suatu hari nanti, kami harus hormat keputusannya jika dia mahu fokus kepada keluarga. Namun buat masa sekarang, memang tiada langsung alasan untuk kami berpecah,” katanya.

Azira juga berkata De Fam sebenarnya kini dalam perancangan untuk melancarkan lagu baru yang jauh lebih mesra telinga kepada pelbagai lapisan pendengar.

“Kami bakal tampil dengan lagu bahasa Melayu sepenuhnya berbanding sebelum ini sering menyanyikan lagu Inggeris. Lagu itu ciptaan komposer terkenal dari Singapura.

“Sepatutnya kami mahu lancarkan lagu itu sebelum Ramadan. Namun disebabkan kesibukan lain, kami menunda pelancarannya ke tarikh tertentu selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

De Fam meledak selepas tampil dengan hit berjudul #SUPERGIRLS sebelum berkolaborasi bersama penyanyi Amerika Syarikat (AS) iaitu Brandon Beal menerusi lagu With You.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 5:21 PM