HENRY Golding teruja dijemput ke The Ellen Show bagi mempromosikan filem terbarunya Crazy Rich Asians. -Foto Agensi
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON Henry Golding mengakui teruja dan masih tidak percaya apabila menjadi tetamu kepada program temubual terkenal dunia The Ellen Show yang akan ditayangkan esok (Isnin waktu tempatan) di stesen televisyen Amerika Syarikat.

Henry, 31, dijemput pengacara terkenal itu, Ellen DeGeneres bagi berkongsi mengenai filem terbarunya berjudul Crazy Rich Asians bersama seorang lagi pelakon utamanya iaitu Constance Wu.

“Satu pengalaman yang ibarat mimpi dan sangat ‘gila’. Ini seperti tidak masuk akal.

“Jangan lupa sebarkan ‘trailer’ Crazy Rich Asians yang akan dilancarkan nanti,” katanya di Instagram.

Pelakon kacukan Iban-Inggeris itu mencipta pencapaian membanggakan apabila dipilih untuk menerajui filem adaptasi novel Crazy Rich Asians arahan Jon M Chu.

Filem itu dijadualkan memulakan tayangan pada 17 Ogos tahun ini.

Sejak melebarkan sayap di Hollywood, Henry turut diberikan kepercayaan memegang watak utama dalam filem Monsoon arahan Hong Khaou.

Pelakon dari Sarawak itu turut bergandingan dengan aktres popular Blake Lively dan Anna Kendrick menerusi filem berjudul A Simple Favor arahan Paul Feig.

Filem itu akan berada di pawagam pada 14 September tahun ini.

Terdahulu, Henry mencipta nama sebagai pengacara 8tv Quickie, Welcome To The Railworld Japan (8TV) dan Surviving Borneo (Discovery Channel Asia) sebelum berjaya menembusi pasaran Hollywood.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 10:05 AM