Siti Nordiana cuba perbaiki kelemahan sedia ada. FOTO ASWADI ALIAS
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENYANYI Siti Nordiana tidak tersinggung dengan komen negatif netizen mengenai gaya pengacaraannya di program realiti Islamik, Gema Gegar Vaganza (GGV).

Nana berkata, bukan hanya dia sahaja menerima kritikan ‘pedas’ netizen malah rakan gandingan turut berdepan situasi itu, minggu lalu.

“Saya menerima segala kritikan negatif dengan hati terbuka. Saya anggap ia perkara normal kerana saya bukan lahir sebagai pengacara. Jiwa lebih kepada lakonan dan nyanyian. Namun saya cuba cabang baru ini untuk membina keyakinan diri.

“Jujur saya sudah lama tidak mengacara program selepas GGV musim pertama melabuhkan tirai tahun lalu. Jadi saya akui sedikit kaku ketika mengacarakan program ini pada minggu pertama.

“Tambahan pula, jadual kerja padat membuatkan saya tiada masa membuat latihan,” katanya.

Menurut Nana, dia mengambil setiap kritikan dan teguran netizen sebagai proses pembelajaran dan kata-kata semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik.

“Ramai yang mengatakan cara pengacaraan saya tidak menunjukkan perubahan walaupun sudah masuk musim kedua. Jujur saya tidak terasa hati tetapi sentiasa berusaha memperbaiki diri.

“Sebenarnya netizen mengkritik itu tidak rasa bagaimana perasaan berada di atas bagi mengawal keseluruhan program disiarkan secara langsung,”katanya.

Terdahulu gaya pengacaraan pelantun yang popular menerusi lagu Terus Mencintai dikritik hebat netizen kerana gaya pengacaraannya dikatakan masih kaku dan tidak menunjukkan perubahan positif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 4:43 PM