Umie Aida tak tau nak kata apa lagi karya filem kerap dicetak rompak terutamanya dalam bentuk CD dan digital dalam pasaran sekarang. FOTO SHIRAZ ALI
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


“TAHAP kecewa pun dah tak ada,” kata Datin Paduka Umie Aida mengulas komen luahannya di laman sosial selepas lakonan beliau dalam filem Dukun sedang ditayangkan di pawagam dicetak rompak.

Umie menerusi laman sosial Instagram miliknya mendedahkan Dukun dicetak rompak dalam bentuk cakera padat (CD) dan digital selepas seminggu karya pengarah Dain Iskandar Said itu ditayang di pawagam.

Malah, beliau merayu orang ramai berganding bahu memboikot cetak rompak yang berleluasa kerana kuasa menghapuskan ‘kerja haram’ itu hanya ada di tangan pengguna.

“Tolong hargai industri kami. Apa akan jadi pada filem akan datang kalau perbuatan tidak bertanggungjawab itu masih wujud,” katanya memohon pihak berkuasa mengambil tindakan.

Melihat apa diketengahkan tidak mendapat sebarang perhatian, Umie meluahkan rasa marahnya apabila ada pihak tidak bertanggungjawab terus menyebarkan filem Dukun di dalam media sosial Facebook (FB).

“Apa keseronokkan anda dapat membuat tayangan Dukun di FB sedangkan ia sedang ditayangkan di pawagam. Saya tidak tahu hendak cakap apa lagi. Kalau itu cara kepuasan anda menonton filem maka teruskan dan sebarkan lagi sebanyak mungkin.

“Jual CD sebanyak mungkin. Buat duit hasil titik peluh orang lain. Terima kasih kerana membunuh industri filem. Dah malas nak komen pasal perkara ini lagi. Lantak engkau orang lah,” ujarnya.

Kata Umie lagi, dia berasakan tidak berguna memberikan sebarang kenyataan sedangkan ia tidak memberikan sebarang impak kerana beterusan menjadi mangsa cetak rompak.

“Sebab itu saya kata kalau hendak kata kecewa, rasanya perasaan kecewa itu sudah tidak ada. Dah jadi kematu. Kerana itu juga saya nyatakan dalam Instagram milik saya, lantak engkau orang lah,” katanya.

Sebelum ini timbul dakwaan Dukun yang sepatutnya ditayangkan Disember 2006 tetapi diharamkan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) kerana jalan cerita yang kontroversi.

Namun Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar dalam kenyataan sebelum ini menegaskan LPF tidak pernah mengharamkan tayangan Dukun sebaliknya hanya menunggu tarikh sesuai ditayangkan.

Selepas empat hari tayangan mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM6.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:53 PM