Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


PEMAIN gitar bass kumpulan Blues Gang, Jim Madasamy, 68, meninggal dunia pagi tadi, hari ini.

Berita kematiannya mengejutkan vokalis kumpulan itu, Ito yang difahamkan Jim terjatuh ketika menunggang basikal berhampiran kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, di sini.

Ito Mohd dihubungi berkata dia dimaklumkan mengenai pemergian rakan seperjuangannya itu sekitar jam 9 pagi.

"Setiap pagi, dia (Jim) akan kayuh basikal yang menjadi rutin sehariannya.

"Buat masa ini, saya belum ada maklumat terperinci mengenai kejadian sebenar.

"Saya akan menghadiri upacara pengebumian Jim di Johor Bahru," katanya.

Menurut Ito, kali terakhir dia berjumpa dengan pemain bass itu pada Disember lalu sewaktu membuat konsert amal untuknya.

"Sebenarnya Jim sudah setahun tidak bermain gitar kerana ada masalah ingatan," katanya.

Kumpulan Blues Gang ditubuhkan lewat 1970-an popular menerusi lagu Apo Nak Di Kato menggunakan loghat Negeri Sembilan.

Selain Ito dan Jim, Blues Gang turut dianggotai Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Datuk Abu Talib (gitar kedua/keyboard) dan Shaik Karim selaku pemain dram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 6:08 PM