SALEEM bersama penganjur dan rakan artis yang akan memeriahkan showcase.
HASIL kutipan Showcase Saleem Raja Balada - Syokkk Ooo bantu rakan artis.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Siapa sangka ketika terlantar sakit pada Februari lalu, Saleem mendapat petunjuk untuk mengadakan persembahan amal bagi membantu rakan artis yang kurang bernasib baik.

Saleem, 56, berkata, semua hasil kutipan jualan tiket Showcase Saleem Raja Balada - Syokkk Ooo akan disumbangkan untuk tujuan murni itu.

“Ketika terlantar sakit, saya terdetik untuk membantu insan seni yang memerlukan bantuan. Ketika itu saya mengenang nasib apabila berdepan masalah kewangan, tidak bekerja dan perlu memikirkan bayaran bil hospital. Mujur ada pihak yang sudi membantu.

“Ketika itu, saya terfikir bagaimana nasib rakan artis lain yang melalui pengalaman sama. Atas kesedaran itu, saya menyimpan niat mengadakan persembahan amal dan bersyukur apabila semuanya dipermudahkan,” katanya

Saleem berkata, semua hasil kutipan persembahan yang akan diadakan pada 20 April ini di auditorium Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu akan diagihkan kepada penggiat seni hasil kerjasama dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).

“Buat masa ini, kami belum memutuskan individu yang bakal menerima sumbangan terbabit, tetapi kami akan bekerjasama dengan Seniman untuk memudahkan urusan pengagihan wang jualan tiket itu nanti.

“Insya-Allah dengan rezeki yang Allah kurniakan ini, saya akan cuba salurkan kepada seberapa ramai yang mampu. Semoga segala urusan ini dipermudahkan,”katanya.

Ditanya mengenai tahap kesihatannya kini, Saleem berkata, keadaannya semakin baik dan bersedia menghiburkan penonton.

“Konsert ini akan menyaksikan saya kembali menyanyi selepas terlantar sakit beberapa bulan lalu.

“Insya-Allah semuanya akan baik-baik saja. Saya kini rajin bersenam dan mengambil ubat mengikut waktu bagi memastikan stamina dan tahap kesihatan saya kembali pulih,” katanya.

Bercerita mengenai persembahan anjuran Laga Emas Enterprise dan Salju’s Enterprise itu, Saleem berkata, dia akan menyampaikan rangkaian lagu popularnya.

“Persembahan ini akan mengambil masa selama dua jam dan saya akan menyanyi sekitar 11 lagu termasuk lagu terbaru, Janggawari,” katanya.

Sebanyak 400 tiket akan dijual dengan harga RM150. Bagi yang berminat boleh menghubungi talian Mas Anizah di talian 019-3387115.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 12:15 PM