HAZIQ bersama hos jemputan, Nana.
TIADA pertandingan tapi selit lagu pencalonan baru Muzik-Muzik 33.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Selesai Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) yang menobatkan lagu Jampi sebagai juara, kini Muzik Muzik kembali untuk edisi ke- 33.

Bagi menyemarakkan kehangatan ‘ibu’ kepada AJL itu, TV3 membawakan Showcase Muzik Muzik 33 (SMM33) yang berlangsung di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya, kelmarin.

SMM33 minggu pertama dirakamkan dan menyaksikan beberapa persembahan hebat penyanyi popular tanah air seperti Ara Johari, Ariff Bahran, Projektor Band, Ryan Deedat, Sandra dan Zarul Husin.

Penerbit Eksekutifnya Nurhul Huda Khalid berkata, ada beberapa kelainan yang ditampilkan dalam SMM33 berbanding showcase yang pernah diadakan pada tahun sebelumnya.

“Tahun ini, ada perbezaan daripada beberapa sudut antaranya konsep showcase itu sendiri.

“Jika tahun lalu, lima lagu dipertandingkan di showcase dan pemenang akan terus layak ke peringkat separuh akhir.

“Tahun ini, kami tidak wujudkan pertandingan, sebaliknya menyelitkan lagu pencalonan baru di samping segmen Throwback,” katanya.

Menurut Nurhul Huda, dari segi format pemarkahan, Muzik Muzik 33 mengambil kira 60 peratus markah daripada juri tetap dan 40 peratus undian penonton.

“Jadi, tahun ini konsepnya lebih terbuka. Tak perlu menunggu sesuatu lagu itu popular sebelum layak bertanding. Apa yang penting, markahnya perlu kena dengan kriteria.

“Bagaimanapun, jika sesuatu lagu itu benar-benar sedang ‘trending’, kami akan bagi keutamaan kerana perlu juga mengikut perkembangan semasa,” katanya.

Sementara itu, Ariff Bahran yang popular menerusi lagu Kata Akhirmu menganggap pemilihan lagu nyanyiannya sebagai pencalonan baru dalam carta sesuatu yang tidak dijangka.

“Tentunya saya sangat berbangga dengan pencapaian ini. Dalam pada gembira, ada rasa gemuruh juga kerana saya perlu bersaing dengan mereka yang hebat.

“Untuk SMM33, saya berikan sedikit kelainan dari segi nyanyian untuk menunjukkan kemampuan,” katanya.

Bagi Sandra yang pernah popular dengan lagu Hey Kau pula, kali ini dia dicalonkan untuk lagu duet bersama penyanyi baru, Ryan Deedat menerusi lagu Salimah.

“Itu lagu genre EDM (Electronic Dance Music). Jadi, saya yakin ia mampu menarik perhatian golongan muda,” katanya.

SMM33 adalah episod khas Muzik Muzik yang akan ditayangkan pada setiap hujung bulan bermula 30 April ini.

Ditayangkan sebanyak lima episod, SMM33 diacarakan Haziq Hussni bersama Sherry Al Hadad di samping dua hos jemputan, Nana Mahazan serta Fizie Hot FM.

Selain SMM33 yang diadakan di tempat awam, Muzik Muzik 33 pula menampilkan beberapa segmen baru antaranya Apa Cerita? #coverlaguMM33, Lepak Jap, Spotlight dan Eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 11:44 AM