Dari kiri, Trinh Tran, Gillan, Robert Downey Jr, Cumberbatch dan pengarah, Joe Russo
Ardini Sophia Sina
hellinie@nstp.com.my

"SAYA boleh katakan, kejayaan filem Marvel adalah disebabkan garapan 'trick' dalam sesebuah naskhah," kata Robert Downey Jr dalam sidang media ‘Avengers Infinity War’ di Pusat Konvensyen dan Ekspo Marina Bay Sands, Singapura.

Walaupun filem Marvel Cinematic Universe tampil dengan satu atau dua filem setiap tahun namun 'trick' yang diguna pakai tidak pernah sama. Malahan, ada saja unsur kejutan yang dilakukan.

Terkenal dengan wataknya sebagai Iron Man atau Tony Stark, pelakon berusia 53 tahun itu berkata, mereka tidak akan sama sekali mengulang perkara sama, walaupun ia terbukti berkesan.

"Saya pernah baca dalam beberapa majalah, peminat sangat menyukai babak ketika berlawan di lapangan terbang dalam filem Captain America: Civil War kerana kesemua adiwira dikumpulkan dalam babak sama.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu mengulang perkara yang sudah berjaya. Cabaran kali ini adalah mengembangkan jalan cerita agar kelihatan menarik dan mantap tanpa mengulang cara sama," katanya.

Ditanya perasaannya bekerja dengan adiwira baharu dalam Avengers Infinity War seperti Doctor Strange, Nebula, Spiderman dan Guardians Of The Galaxy, beliau berkata, ia adalah kesempatan terbaik dan ingin bekerja dengan

lebih ramai adiwira Marvel.

"Saya sangat alu-alukan adiwira Marvel yang lain untuk menyertai Avengers.

Ia adalah peluang baik untuk bekerja dan berlakon bersama bagi memantapkan lagi kisah Avengers," katanya.

Dalam sidang media itu, turut hadir ialah pengarah, Joe Russo dan produser eksekutif, Trinh Tran serta Benedict Cumberbatch dan Karen Gillan.

Lebih 100 wakil media daripada beberapa negara seperti Rusia, Taiwan, Australia, Indonesia dan Thailand sempat hadir bagi menghadiri sidang

media dan temubual eksklusif bersama mereka.

Avengers Infinity War adalah sekuel pada Marvel' The Avengers ( 2012) dan

Avengers: Age Of Ultron (2015). Ia juga filem di bawah Marvel Cinematic Universe.

Sekuel baharu ini bakal ditayangkan bermula 25 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 3:49 PM