SABRI terkejut dengan sambutan luar jangkaan terhadap ‘Pok Ya Cong Codei’.
BERNAMA

SELEPAS mencipta kejayaan luar biasa menerusi karya 'Pok Ya Cong Codei' arahan dan lakonannya sendiri, aktor versatil Sabri Yunus kini sedang menyiapkan sambungan telefilem berkenaan, 'Pok Ya Cong Codei Raya'.

Sesuai dengan judulnya, telefilem itu adalah untuk tontonan pada Aidilfitri akan datang.

Mengakui watak 'Pok Ya' sebagai satu jenama baharunya dalam industri seni, anak jati Kelantan berusia 57 tahun itu berkata, telefilem berkenaan masih mengekalkan dirinya sebagai Pok Ya, selaku teraju utama.

Pok Ya sebenarnya adalah seorang penghulu ‘gedebe’, yang dalam dialek Kelantan bermakna samseng.

Beliau berkata, Pok Ya Cong Codei Raya mengisahkan persiapan Pok Ya bagi meraikan Aidilfitri bersama keluarga selepas ditinggalkan isteri muda seperti diceritakan pada telefilem pertama.

"Ia menceritakan Pok Ya kembali kepada pangkuan isteri dan anak yang diabaikannya sebelum itu.

'’Isteri dan anak Pok Ya ini adalah watak baharu yang akan diperkenalkan dan saya sudah mengenalpasti beberapa 'anak Kelantan' untuk melakonkannya,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu ‘Nine11’ terbitan Bernama News Channel di Kuala Lumpur, hari ini.

'Pok Ya Cong Codei’ yang ditayangkan 20 Januari lalu turut menampilkan lakonan mantap Mustapha Kamal, Uqasha Senrose dan Fikri Ibrahim, dengan mengisahkan perjalanan Pok Ya ke ibu kota untuk mencari anak perempuan seorang Datuk yang kononnya dilarikan penculik.

Selain jalan cerita menarik, telefilem itu menjadi tular disebabkan nama Hotel Concorde yang dieja dan disebut Pok Ya sebagai 'Cong Codei' sehingga menjadi ikutan penonton dan trending di laman sosial.

Sabri berkata, antara barisan pelakon dijangka turut muncul dalam Pak Ya Cong Codei Raya adalah pelakon jelita Sasqia Dahuri (Nurlisasqia Ahmad Dahuri) , pelawak Issey (Fazlisham Mat Hussin) dan aktor karismatik Wan Hanafi Su.

Tambahnya, telefilem itu masih mengekalkan latar lokasi di sekitar Kelantan dan Temerloh, Pahang.

Dalam pada itu, Sabri secara peribadi mengakui terkejut dengan sambutan luar jangkaan terhadap karyanya itu ketika mula ditayangkan di kaca televisyen.

"Kejayaan telefilem ini menaikkan semangat untuk terus berkarya dan semestinya sebagai seorang anak seni saya mempunyai keinginan melakonkan pelbagai lagi watak serta mengetengahkan variasi karya dalam dunia seni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 4:52 PM