M. Ramlee. FOTO NSTP
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


PELAKON drama, pelawak, pengacara dan juga penyanyi era 1970-an, M. Ramlee atau Ramlee Md Isa, 71, meninggal dunia kira-kira 10 pagi tadi selepas dilaporkan sakit dan menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Nasional (NUH), Singapura, sejak Februari lalu.

Perkara itu diumumkan kenalan arwah di Twitter dan turut mendapat ucapan takziah daripada pelakon, Beto Kusyairi yang pernah berlakon bersamanya melalui drama Kisah Tok Kadi untuk siaran sebuah stesen TV di Singapura.

Difahamkan, arwah dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam panas dan diletakkan dalam ‘induced coma’€™ bagi tujuan rawatan. Arwah juga dilaporkan pernah mengalami masalah jantung.

Jenazah dikebumikan di Pusara Aman di Singapura selepas solat Zuhur, sebentar tadi.

Arwah yang dilahirkan di Melaka tetapi menetap di Jurong West, meninggalkan empat orang anak dan lima orang cucu.

Ketika hayat, arwah pernah muncul dengan lagu berjudul Hari Lebaran dan lagu duet Ingin Tahu bersama penyanyi, Sanisah Huri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 3:26 PM