ISMAIL Izzani. FOTO Mahzir Mat Isa
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PENYANYI baharu yang popular dengan lagu Sabar, Ismail Izzani sengaja menghasilkan lagu khas untuk pasaran Indonesia kerana pendengar di negara itu mempunyai selera muzik berbeza dengan peminat tanah air.

Bakal menyelitkan elemen muzik urban dan jazz, jejaka berusia 18 tahun itu bagaimanapun masih meneliti perancangan untuk menggubah lagu berdasarkan permintaan di negara berkenaan.

“Saya bakal muncul dengan lagu pertama khas untuk pasaran Indonesia dengan genre yang berbeza dengan dua lagu yang pernah saya nyanyi sebelum ini kerana pendengar di sana mempunyai selera muzik yang berbeza.

“Saya mungkin akan selitkan unsur jazz dalam lagu itu nanti. Bagaimanapun, ia masih pada peringkat perbincangan dan saya juga ingin terlebih dahulu memberikan laluan pada promosi lagu baharu berjudul Luar Biasa,” katanya.

Walaupun mempunyai kelompok peminat dari Indonesia, Ismail mengakui dirinya kurang yakin mampu menembusi pasaran muzik di sana. Namun, dia selesa dengan segala usaha untuk membina nama di negara jiran.

“Saya akui, saya tidak yakin mampu menempatkan diri dalam kalangan penyanyi tempatan di Indonesia. Tetapi, saya selesa dengan persiapan yang dilakukan untuk mencari tempat di sana.

“Alhamdulillah, saya sudah ada kelompok peminat di sana dan berharap ia dapat membantu agar saya dapat mengembangkan kerjaya di negara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 11:59 AM