HAIRUL sibuk buat persiapan selepas dapat kepercayaan bawa watak pasukan elit TLDM.
ADRIAN (berkot) bersama pelakon filem Paskal.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Membintangi filem bertemakan ketenteraan sememangnya impian Hairul Azreen sejak kecil.

Ia menjadi kenyataan apabila pelakon itu diberikan kepercayaan membawakan watak anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam filem berjudul Paskal.

Dalam keterujaan menghidupkan watak itu, Hairul, 29, mengakui bimbang berikutan tanggungjawab itu sangat berat.

“Watak saya penting dalam filem ini, jadi perlu bersungguh-sungguh agar tidak memalukan PASKAL.

“Banyak pihak meletakkan harapan besar terhadap saya untuk menjayakan filem ini.

“Oleh sebab itu, saya mengambil inisiatif mempertingkatkan lagi persembahan dengan mengikuti kelas lakonan,” katanya.

Biarpun penggambaran belum bermula, Hairul memberitahu dia penat kerana mula menjalani latihan sejak awal Januari.

“Sewaktu kecil, saya pernah pasang cita-cita mahu jadi tentera namun tiada rezeki.

“Peluang itu akhirnya datang walaupun cuma berlakon. Saya berpuas hati kerana berpeluang menjalani latihan sebenar anggota PASKAL di kem Lumut, Perak.

“Walaupun penat fizikal dan mental, banyak ilmu saya belajar mengenai PASKAL,” katanya.

Meskipun bertubuh sasa, pelakon itu dikehendaki mengurangkan berat badan sebanyak tujuh kilogram bagi merealisasikan watak.

“Sekarang saya kena jaga pemakanan dan buat latihan kecergasan untuk tambah stamina.

“Pasti ramai ingat saya kurang sesuai bawa watak ini kerana berwajah keanak-anakan,” katanya.

“Jadi, saya cuba menguruskan sedikit wajah untuk tampak garang,” katanya.

Turut membintangi filem Paskal ialah Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Paskal berdasarkan kejayaan pasukan elit itu dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bung Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Filem arahan Adrian Tan itu menelan bajet RM10 juta dan penggambaran bermula bulan ini.

Antara lokasi penggambaran adalah di Lumut, Perak, Semporna, Sabah dan Mahgribi.

Biarpun filem Paskal mengisahkan kejadian sebenar, Adrian menyelitkan elemen drama bagi memastikan plot cerita lebih menarik.

“Bagi saya setiap filem perlu ada cerita. Dalam Paskal turut diketengahkan kisah persahabatan dan dendam.

“Namun, saya akan pastikan setiap fakta dua misi itu tepat,” katanya.

Mengenai perbelanjaan besar pembikinan filem Paskal, Adrian menjelaskan jumlah itu membabitkan kos kesan khas komputer, senjata, penggambaran di lokasi lebih baik bagi hasil yang berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:21 AM