ANTARA delegasi dan karyawan Iran yang hadir.
FESTIVAL Filem Iran 2018 disemarakkan dengan majlis perasmian yang berlangsung di GSC Pavillion.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Penggemar filem Iran disarankan tidak melepaskan peluang keemasan menonton enam filem terbaik negara itu sempena penganjuran Festival Filem Iran (FFI) 2018 buat julung kalinya di negara ini.

Festival ini dianjurkan Kedutaan Republik Islam Iran dengan kerjasama Golden Screen Cinema (GSC) dan disokong Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Farabi Film Foundation serta Hoze Honari Organization.

Sempena FFI yang bermula sejak 7 Mac lalu dan berakhir pada 17 Mac ini, enam filem terbaik Tehran ditayangkan secara percuma kepada orang ramai.

Enam filem hebat itu ialah Sweet Taste of Imagination, The Queen, Ceasefire 2, Where are My Shoes, Under the Smoky Roof dan Crazy Castle.

Menurut Pengarah FFI Mohammad Reza Shams, semua karya hebat itu pernah memenangi beberapa anugerah di Festival Filem Fajr 2017 dan di peringkat antarabangsa.

“Tayangan filem itu membabitkan pawagam GSC terpilih iaitu GSC Pavillion, GSC Mid Valley (7 hingga 11 Mac lalu), GSC Gurney Plaza (12 hingga 14 Mac) dan GSC Paradigm Johor Bahru (15 hingga 17 Mac).

“Enam filem ditayangkan itu dalam bahasa Parsi dengan sari kata bahasa Inggeris.

“Penonton juga berpeluang bertemu dengan barisan karyawan tersohor Iran apabila sutradara Abolhassan dan Azita akan hadir pada majlis tayangan filem di Johor Bahru pada 15 Mac (esok) ini,” katanya.

Mohamad Reza ditemui pada majlis perasmian FFI yang berlangsung di GSC Pavillion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis perasmian itu dihadiri Pesuruhjaya Republik Iran di Malaysia Marzeih Afkham, Ketua Pegawai Eksekutif GSC Koh Mei Lee dan Kaunselor Budaya Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia Ali Mohammed Sabeghi.

Tidak ketinggalan ia dihadiri pengarah filem terkenal Iran, Pooran Derakshandeh dan aktres Merila Zarei.

Selain sesi tayangan filem, kata Mohamad Reza, festival itu turut menganjurkan program perkongsian ilmu yang dikendalikan pengarah Abolhassan Davoodi dan Pouran Derakhshandeh di Aswara.

“Menerusi penganjuran FFI, hubungan strategik melalui seni filem antara Malaysia dan Iran akan lebih erat disamping dapat membuka ruangan jaringan dua hala,” katanya.

Keterangan mengenai tayangan percuma, sila layari http://www.gsc.com.my atau http://www.iranianfilmmalaysia.com.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:09 AM