PROVOKATIF namun pelaksanaannya bijak.
BUKAN plot cerita perisikan yang klise.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Filem provokasi terhadap negara lain yang dibuat Amerika Syarikat (AS) memang biasa dilakukan.

Russia antara yang sentiasa berada dalam senarai jika membabitkan filem mengenai perisikan.

Red Sparrow arahan Francis Lawrence adalah sebuah percaturan yang tentu menimbulkan isu konspirasi.

Filem yang mula ditayangkan di sini, esok adalah contoh filem provokasi yang pelaksanaannya sangat bijak.

Plot filem dibintangi Jennifer Lawrence, Joel Edgerton, Matthias Schoenaerts, Jeremy Irons, Charlotte Rampling, Ciaran Hinds, Joely Richardson, Bill Camp dan Thekla Reuten ini juga sangat meyakinkan.

Tidak seperti filem perisikan lain, watak utama Dominika Egorova lakonan Jennifer bukanlah watak penyamaran sebagai perisik. Sebaliknya, ia dikembangkan daripada orang biasa kepada perisik terlatih.

Perjalanannya daripada seorang penari balet menjadi perisik diceritakan dengan begitu jelas.

Tiada putaran cerita terhadap watak itu yang membuatkan penonton ragu-ragu latar belakangnya.

Sebaliknya, Dominika terjebak dalam bidang itu selepas tersepit dalam dilema. Kemalangan yang berlaku kepadanya meragut impiannya untuk meneruskan kerjaya sebagai penari balet.

Segala usaha kerasnya sebelum itu adalah demi memberikan kesenangan kepada ibunya. Gajinya sangat penting untuk digunakan membiayai ibunya yang sakit.

Apabila hilang punca pendapatan, di situlah bapa saudaranya Ivan Egorov mengambil kesempatan. Ugutan halus dibuat terhadap Dominika membuatkan dia akur untuk menjadi perisik Rusia.

Isu kekeluargaan antara konflik utama yang menjadi mesej penting filem itu.

Walaupun Dominika sangat menyayangi dan sanggup berkorban untuk ibunya, bagaimanapun dia tidak boleh mempercayai bapa saudaranya sendiri Ivan.

Tiada pilihan dalam hidup angkara kelebihan yang diberikan dalam kehidupan sudah tiada membuatkan dia buntu. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mengikut perintah bapa saudaranya untuk mendapat semula kelebihan itu.

Direkrut memasuki program latihan perisikan sulit yang dinamakan Sparrow membuka matanya. Dia melihat kesempatan itu sebagai satu kelebihan untuknya melepaskan diri daripada cengkaman bapa saudaranya.

Walaupun tahu jika tersilap langkah hanya maut yang menantinya, Dominika bagaimanapun terus berharap dia dapat membetulkan keadaan semula.

Sewaktu ditugaskan untuk mendekati warga AS iaitu Nathaniel yang didakwa membuat onar di Moscow, peluang itu sebenarnya jawapan kepada jalan keluarnya.

Ganas, licik, dan menggoda, itulah elemen yang terbaik untuk menyimpulkan Red Sparrow. Gabungan elemen itu boleh dikatakan sangat menjadi dan memberi impak lebih kepada emosi penonton.

Pengarah ternyata mahu memberikan kekaburan kepada penonton untuk berpihak kepada siapa sebenarnya.

Bagaimanapun, setiap pergerakan yang dilakukannya ada alasan tersendiri. Tidak pun diperincikan dengan jelas, plot disusun begitu baik untuk diuraikan pada bahagian klimaks.

Tentu sekali penonton tidak akan menduga bahagian putaran cerita yang menjadi antara kekuatan filem itu. Sama ada kemenangan yang dicari atau sebenarnya peluang melepaskan diri.

Nampak provokatif, namun hakikatnya Red Sparrow membawa mesej mengenai kuasa terselindung yang perlu ada dalam seseorang wanita. Apatah lagi jika jiwa rapuh wanita dijadikan umpan demi kepentingan sendiri.

Tidak kira siapa juga pembelot yang perlu dicari. Dominika perlu utamakan kebebasan dirinya terlebih dulu walaupun kesudahannya dia perlu mengorbankan darah dagingnya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:06 AM