DJ Dave dan Azemi bersama-sama tetamu merasamikan pameran.
DJ Dave dan Azemi (empat dari kiri) bersama-sama tetamu yang hadir ketika perasmian pameran Memperingati P Ramlee.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Jika masih hidup, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee akan berusia 89 tahun pada 22 Mac ini.

Apa yang pasti, bakti ditaburkan Allahyarham ketika hayatnya untuk industri hiburan tanah air sangat besar.

Sama ada dalam bidang lakonan, muzik dan pengarahan filem, bakat dimiliki P Ramlee tiada tolok bandingnya.

Hingga kini, sudah 45 tahun arwah meninggal dunia dan boleh dikatakan P Ramlee tidak ada pengganti.

Baru-baru ini, Care Clinics yang diterajui sekumpulan doktor tampil bekerjasama dengan Arkib Negara dan Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) menganjurkan pameran Memperingati P Ramlee di Mercure Selangor, Selayang.

Berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang , orang ramai yang hadir secara langsung meneroka sejarah hidup P Ramlee.

Pengerusi YA1M Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave berkata, beliau amat teruja untuk bekerjasama dengan Care Clinics dan Arkib Negara.

“Apatah lagi, pameran sejarah berkaitan tokoh seni terhebat seperti P Ramlee diadakan di tempat awam dan tumpuan orang ramai.

“Ia langkah yang baik dilakukan Care Clinics untuk menganjurkan pameran berkaitan warisan kebudayaan dan kesenian Malaysia di tempat awam,”katanya.

Menurut DJ Dave, sudah tiba masanya bahan sejarah tokoh seni tanah air seperti P Ramlee dibawa keluar dari arkib untuk dipamer kepada masyarakat.

“Menerusi pameran diadakan maklumat sejarah kehidupan P Ramlee dapat disalurkan pada generasi muda masa kini supaya tidak luput ditelan zaman.

“Ditambah dalam kesibukan kerja masa kini, jarang ibu bapa ada waktu untuk membawa anak mereka meneroka sejarah tokoh di muzium.

“Jadi, apabila pameran itu dibuat di lokasi luar seperti tempat awam, saya yakin mampu mendapat sambutan baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz berkata, pihaknya sedia membuka pintu kerjasama dengan pihak swasta yang berminat menganjurkan pameran berkaitan warisan kebudayaan dan kesenian Malaysia.

Beliau berkata, inisiatif dilakukan pihak Care Clinics sangat dipuji dalam usaha bersama menyalur maklumat mengenai tokoh negarawan tersohor dalam industri seni seperti P Ramlee.

“Saya sangat berbesar hati untuk terbabit dalam kerjasama ini bersama Care Clinics yang dipengerusikan Dr Azura Ahmad dan pihak YAIM .

“Sebenarnya, saya tidak sangka juga golongan doktor memiliki minat untuk meneroka sejarah hidup P Ramlee.

“Di Arkib Negara pun, setakat ini hanya mempunyai koleksi penggiat seni seperti P Ramlee, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Datuk Sudirman Arshad.

“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilakukan Care Clinics ini sangat murni dan wajar dipuji,” katanya.

Beliau berkata, sejarah tokoh ternama seperti P Ramlee wajar dikongsi dengan masyarakat di luar muzium.

Sehubungan itu, antara bahan sejarah yang boleh dikongsi Arkib Negara untuk projek CSR merangkumi sejarah hidup tokoh politik, penggiat seni, ahli sukan dan negarawan yang sudah berbakti pada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 6:03 AM