KILAFAIRY. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


SEJAK dimuat naik di YouTube pada 16 Februari lalu, video muzik lagu terbaru penyanyi Kilafairy, Put The Word In terus mendapat sambutan ramai dan kini sudah mencecah hampir sejuta tontonan.

Ternyata, pelbagai kritikan dari netizen membabitkan tariannya dalam video muzik nyanyian duet bersama DJ Aku Ash dan Sean Kingston itu tidak menjejaskan sambutan peminat pada video muzik terbabit.

Ketika ditemui, Kilafairy atau pemilik nama sebenar Syakila Nisa Jahangir Khan, 26, berkata, dia mengakui teruja dengan sambutan peminat pada video muzik terbabit.

"Saya bersyukur kerana ramai peminat dan rakan-rakan yang menyukai lagu dan video muzik itu. Lagu ini juga mudah untuk menari bersama.

"Ia sudah cukup bermakna buat saya bila ramai yang menyukai lagu dan video muzik terbabit," katanya.

Kilafairy ditemui pada rakaman program bual bicara It’s Aliff! yang berlangsung di studio 1, Ntv7 Glenmarie di sini, petang tadi.

Anak kepada penyanyi Rohana Jalil ini menafikan video muzik Put The Word In mendapat sambutan kerana tariannya yang menggairahkan.

"Saya hanya memakai baju yang longgar dalam video muzik terbabit.

"Kalau saya pakai baju kurung pun orang tetap akan cakap seksi juga.

"Video muzik itu juga dihasilkan bukan untuk pasaran antarabangsa saja sebaliknya untuk tontonan di Malaysia.

"Sebab itu, pihak pengurusan Paranormal Records sangat teliti dalam menghasilkan video muzik yang sesuai untuk menjaga sensitiviti peminat tempatan," katanya.

Bagaimanapun kata Kilafairy, dia sudah bersedia menerima apa saja kritikan dari netizen.

"Saya sudah lali dengan kritikan orang dan ia tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang dalam bidang seni kerana saya tahu apa yang dilakukan," katanya.

Klip video itu turut menampilkan selebriti tempatan iaitu Izara Aishah, Joe Flizzow, Altimet, Idris Khan dan Kaka Azraff.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 8:31 PM