Henry cipta nama selaku pengacara sebelum tembusi pasaran Hollywood. FOTO IG
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON dan pengacara Henry Golding nampaknya semakin melebarkan sayap di Hollywood apabila sah bakal memegang watak utama filem berjudul Monsoon arahan Hong Khaou.

Henry, 31, menyifatkan peluang itu sesuatu yang tidak boleh ditolak apalagi selepas membaca skrip juga hasil tulisan pengarah itu sendiri.

“Untuk skripnya sendiri saja, naskhah Monsoon berjaya membuatkan saya terus jatuh cinta. Serta-merta saya tahu saya mesti jadi sebahagian daripada filem itu.

“Hong pernah menghasilkan filem yang sangat mengagumkan pada 2014 berjudul Lilting. Saya tidak sabar mahu terbabit dalam projek seterusnya itu.

“Terima kasih buat mereka yang tidak putus memberi tunjuk ajar dan percaya dengan kemampuan saya. Kamu tahu siapa kamu,” tulisnya di Instagram.

Terdahulu, Henry mencipta pencapaian manis apabila dipilih untuk menerajui filem adaptasi novel Crazy Rich Asians arahan Jon M Chu. Filem itu dijadualkan memulakan tayangan pada 17 Ogos tahun ini.

Pelakon kacukan Iban-Inggeris itu turut bergandingan dengan aktres popular Blake Lively dan Anna Kendrick menerusi filem berjudul A Simple Favor arahan Paul Feig.

Filem itu akan berada di pawagam pada 14 September tahun ini.

Terdahulu, Henry mencipta nama sebagai pengacara 8tv Quickie, Welcome To The Railworld Japan (8TV) dan Surviving Borneo (Discovery Channel Asia) sebelum berjaya menembusi pasaran Hollywood.

Hong Khaou adalah pengarah filem dari Britain kelahiran Phnom Penh, Kampuchea.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 4:56 PM