Josiah akui pihaknya risau selepas berita video seks Chong Wei tersebar. FOTO NURUL SYAZANA ROSE AZMAN
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PENERBIT filem Datuk Lee Chong Wei, Josiah Chieng mengakui keseluruhan produksi agak risau nasib filem itu selepas rakaman video seks didakwa milik jaguh badminton itu tular bersama seorang wanita tidak dikenali.

Bagaimanapun, dia berharap ia tidak akan memberi kesan buruk terhadap perjalanan filem terbabit dan yakin rakyat Malaysia jauh lebih bijak menilai perkara itu.

“Memang kami risau apalagi peminat Datuk sendiri terdiri daripada golongan anak kecil sehinggalah dewasa. Saya takut ia akan memberikan kesan daripada segi mentaliti terutama peminat cilik.

“Kami pun memang ada berbincang mengenai hal itu dan merancang untuk melakukan lebih kerja demi kelancaran promosi filem berkenaan.

“Bagaimanapun, saya tahu rakyat kita kini lebih bijak dalam menilai hal ini. Lagipun, individu dalam video itu bukan Datuk pun dan ia tidak akan mempengaruhi keinginan mereka untuk menonton filem itu,” katanya.

Menurutnya, filem berkenaan sendiri dinantikan ramai dan rangka promosi tetap akan berlangsung seperti dijadualkan.

“Filem itu sendiri sudah dibikin dengan sebaik mana dan saya yakin kekuatan sebenarnya tentu sekali pada cerita itu sendiri. Itulah penonton harapkan semestinya untuk melihat keberkesanannya.

“Segala gosip terpalit dan berkaitan dengan filem itu memang di luar kawalan sesiapapun. Kami akan tetap sambung rangka promosi dan mengenepikan anasir lain yang tidak sepatutnya.

“Yang pasti, daripada sisi positif semua akan bercakap mengenai Datuk pada sambutan Tahun Baru Cina ini dan sekali gus memberikan promosi kepada filem itu sendiri,” katanya.

Menampilkan barisan pelakon Datuk Rosyam Nor, Tosh Chan, Ashley Hua dan Agnes Lim, filem biografi jaguh badminton itu akan mula ditayang di pawagam seluruh negara pada 15 Mac ini.

Berita berkaitan:

'Itu bukan saya maa... bukan saya...'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 2:46 PM