Abang Brian. FOTO Instagram Abang Brian
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


DEK kerana mengelolakan segmen 'Ustaz Di Konti' setiap Jumaat dalam slot Menu Suria di Suria FM sejak tiga tahun lalu, cef selebriti Brian Chen atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Brian, 32, kini mendapat jolokan nama 'Deejay Ibrahim' di kalangan pendengar stesen radio itu

Brian yang juga pengacara rancangan CJ Wow Shop di TV3, ketika ditemui berkata, dia cintakan ilmu dan status bukan Islam tidak menjadi halangan untuknya belajar mengenai agama Islam.

"Apa yang boleh dikatakan, ajaran dan amalan gaya hidup dalam Islam itu indah. Banyak ilmu sudah saya timba dan fahaminya.

"Terus-terang, saya sangat seronok. Apa lagi dapat berkongsi ilmu agama daripada ustaz yang diundang itu bersama pendengar Suria FM.

"Saya berasa puas. Ini kerana, penting dan paling utama untuk saya memastikan slot Menu Suria yang dikelolakan setiap hari dimuatkan dengan pelbagai ilmu berguna untuk pendengar dan bukan sekadar hiburan semata-mata," katanya.

Ditanya, sama ada dia kini ke arah untuk menganuti agama Islam, Brian berkata dia masih belum ada jawapan untuk itu.

"Apa yang saya lakukan sekarang kerana suka dan minat. Apatah lagi, dapat berkongsi ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

"Saya tolak ke tepi perbezaan agama dan budaya kerana kita di dalam ‘Satu Malaysia’. Saya sangat menghormati semua agama dan budaya masyarakat di negara ini.

"Selain itu, bagi saya hidayah adalah milik Tuhan. Apa yang pasti, saya yakin kita perlu betulkan niat dalam hati jika mahu mendapat keberkatan hidup," katanya.

Pemuda kelahiran Batu Pahat ini juga memberitahu dia sudah amalkan berpuasa penuh sepanjang Ramadan sejak tiga tahun lalu.

Brian yang aktif mengacara dan pernah bergelar pelakon, menyertai Suria FM sebagai penyampai radio pada 13 Julai 2015.

Terdahulu, Brian pernah menyertai program realiti MasterChef Malaysia musim pertama pada 2011 dan diikuti Masterchef Malaysia All Stars (2014).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 11:27 AM