ZAMANI dan Ezad bakal menjayakan konsert Slam dan Exists.
GABUNG Slam dan Exists dalam satu konsert janjikan kepuasan kepada peminat.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kredibiliti Zamani Ibrahim dan Ezad Lazim dalam bidang nyanyian tidak perlu dipertikai lagi.

Zamani mencipta kegemilangan bersama kumplan Slam pada 1994 manakala Ezad pula mengambil alih kedudukan Mamat sebagai vokalis Exists pada 1995.

Kedua-duanya menjalin hubungan erat di luar pentas nyanyian. Malah, populariti mereka yang masih bertahan sehingga kini membuatkan Zamani dan Ezad sering menjadi pilihan penganjur untuk menjayakan persembahan bersama.

Sabtu lalu, Zamani, 47, dan Ezad, 39, dipilih menghiburkan tetamu pada acara pelancaran pakej perkahwinan di IDDC Shah Alam.

Ternyata kedua-duanya terhangat di pasaran kerana sebaik selesai persembahan, Zamani bergegas ke Dataran Merdeka untuk menjayakan persembahan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, sementara Ezad pula bergerak ke dewan bersebelahan untuk satu lagi persembahan.

Zamani mengakui seronok berkongsi pentas dengan Ezad dan merancang agenda lebih besar bersama sahabat baiknya itu.

“Setakat ini belum ada perancangan menghasilkan single atau album penuh. Saya lebih fokus pada persembahan.

“Syukurlah saya dan Ezad dipertemukan dalam persembahan ini dan banyak yang kami bualkan. Tahun ini juga ada rancangan menggabungkan Slam dan Exists dalam satu konsert,” katanya.

Menurut Zamani, Exists akan tampil dengan semua anggota lama termasuk Mamat serta Shah dan ini sudah pasti dinanti peminat.

“Kami sudah berbincang, penaja pun sudah ada, cuma biarlah nama konsert ini dirahsiakan sehingga ia benar-benar jadi kenyataan.

“Kalau boleh biarlah konsert ini dibuat secara bergerak iaitu di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sambung Zamani, jika tiada aral konsert pertama mungkin akan berlangsung April nanti.

“Sebenarnya, saya hanya beri cadangan kepada penaja untuk menggandingkan Slam dan Exists. Tak sangka dia bersetuju dengan idea ini.

“Saya percaya kami ada keserasian kerana sudah tahu muzik masing-masing. Pastinya gandingan ini akan beri kepuasan kepada peminat,” katanya.

Sementara itu, Ezad berkata, ini adalah persembahan keempat yang menemukannya dengan Zamani di satu pentas.

“Sebenarnya, persembahan untuk pakej perkahwinan ini diuruskan isteri saya, Zeana dan dia turut menjemput Zamani menyanyi.

“Ikutkan Zamani sepatutnya menjayakan persembahan di dewan sebelah selepas persembahan ini tetapi disebabkan ada komitmen di Dataran Merdeka, dia serahkan kepada saya. Kami selalu berkongsi rezeki,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan konsert, Ezad mengakui Exists teruja sementelah jarang menjayakan persembahan berskala besar ketika masih aktif.

“Bukan saja konsert, kemungkinan juga kami akan menghasilkan single duet terbitan penaja konsert.

“Segala-galanya masih dalam perbincangan dan saya serahkan perkara ini kepada pengurus Zamani, Abang Johan Aziz untuk memutuskannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 5:55 AM