A M Sabeghi harap festival bangunkan hubungan budaya dan persefahaman antara Iran dengan Malaysia.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Sebanyak enam filem hebat dari Iran bakal ditayang­kan sempena Festival Filem Iran Malaysia 2018 yang bakal berlangsung buat pertama kali di negara ini bermula 7 hingga 17 Mac depan.

Enam filem berkenaan ialah Sweet Taste Of Imagination, Crazy Castel, Under The Smooky Roof, The Queen, Ceasefire 2 dan Where Are My Shoes.

Kaunselor Budaya, Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia A M Sabeghi berkata, enam filem yang terpilih itu juga mengangkat seni budaya dan gaya hidup bangsa Parsi bertemakan kemanusiaan, kasih sayang, kemasyarakatan, kekeluargaan dan perjuangan.

“Filem yang terpilih ini juga membabitkan karya yang pernah memenangi festival filem di Iran dan antarabangsa seperti Festival Filem Fajr, Iran.

“Kami sangat bangga dapat membawa sebahagian filem berkualiti dari Iran untuk berkongsi pengetahuan dengan penonton di negara ini.

“Saya juga berharap penganjuran festival ini akan dapat mencapai hasrat membangunkan perhubu­ngan budaya dan kesefahaman bersama antara Iran serta Malaysia,” katanya kepada RAP.

Beliau yang juga setiausaha festival berkata, filem yang terpilih akan ditayang­kan percuma di pawagam GSC terpilih iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Tayangan percuma membabitkan pawagam di GSC Pavillion,GSC Mid Val­ley (7 hingga 11 Mac), GSC Gurney Plaza (12 hingga 14 Mac) dan GSC Paradigm Johor Bahru (15 hingga 17 Mac).

“Enam filem terpilih yang ditayangkan ini dalam bahasa Parsi bersama sari kata bahasa Inggeris.

“Tiket percuma untuk menonton filem ini boleh diperolehi menerusi kaunter box-office pawagam terpilih.

“Bagi mengetahui jadual tayangan dan tempahan secara dalam talian, boleh layari laman we http://www.gsc.com.my atau http://www.iranianfilemmalaysia.com,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 5:45 AM