Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Sebuah filem berjudul Think Big Big hasil kolaborasi Watsons Malaysia dan Astro Shaw bakal menemui penonton di pawagam pada 15 Februari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Mendapat sentuhan sutradara Chiu Keng Guan, sudah semestinya filem ini antara yang dinanti pengikut setianya.

Dibintangi pelakon berbangsa Tionghua tempatan termasuk Serene Lim, Fabian Loo, Vivienne Oon, Yong Swen Moon, Ruby Yap, Joanne Lau, Kam Hoe Kei, Billie Chong dan Chew Swee Lee, naratif filem ini ringan tetapi sarat mesej positif.

Menurut Chiu, meskipun ia sebuah naskhah ringan dan menampilkan wajah baru, Think Big Big sangat istimewa dan wajib ditonton.

“Ia sebuah lagi cerita yang menggambarkan kehidupan sebenar di Malaysia. Ia memaparkan ikatan persahabatan, kekeluargaan dan pemikiran positif.

“Walaupun ceritanya ringkas saja, ia mengajar kita untuk sentiasa jadi diri sendiri. Begitu juga dalam mengejar impian, kita kena sentiasa percaya diri,” katanya.

Sentiasa tampil dengan karya dekat di hati masyarakat, Chiu mengakui belajar banyak perkara baru sepanjang pembikinan Think Big Big.

Walaupun ia filem ringan, Chiu tetap berdepan cabaran menyiapkannya.

“Ini terutama daripada aspek teknikal apabila kami menggunakan wayar untuk membuat aksi terbang beberapa pelakon wanita. Begitu juga penggunaan kesan khas demi memantapkan naratif.

“Banyak saya belajar daripada cabaran ini. Selain itu, saya bekerja dengan pelakon bukan profesional sama seperti filem Ola Bola dulu.

“Bagaimanapun, ia bukan masalah besar bagi saya kerana mereka sangat komited,” katanya.


CHIU bersama pelakon dan pengarah pada sesi tayangan khas Think Big Big pada minggu lalu.

Minggu lalu, sebuah tayangan khas turut diadakan buat ahli ELITE Watsons. Syarikat farmasi popular berkenaan menganjurkan tayangan itu bagi menghargai pelanggan mereka.

Pengurus Besar Watsons Malaysia Caryn Loh, berkata Think Big Big bukan sekadar wadah hiburan sebaliknya ia penuh mesej yang boleh dijadikan panduan penonton.

“Mesej utama filem itu selaras dengan matlamat Watsons dalam menyeru orang ramai agar menyayangi serta menerima diri seadanya. Peringatan ini sangat penting khususnya buat wanita.

“Di Watsons, kami sentiasa mengutamakan pelanggan dan memberikan mereka hadiah. Filem ini juga hadiah buat mereka terutama ahli ELITE yang setia menyokong kami,” katanya.

Think Big Big mengisahkan Moon yang bertubuh gempal bercita-cita menjadi angkasawan dan sangat berkeyakinan tinggi.

Dibesarkan di pekan kecil, dia disayangi keluarga dan sentiasa mendapat sokongan.

Disebabkan kesempitan wang, dia mengambil keputusan menyertai pertandingan yang menuntutnya berkongsi aktiviti kecergasannya di media sosial.

Moon semakin popular di media sosial namun kehidupannya berubah perlahan-lahan sehingga kehilangan sokongan insan tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 5:40 AM