ZOEY tak kisah jika single Bilang I Love You dikritik peminat.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Pelakon Zoey Rahman melebarkan sayap dalam bidang nyanyian apabila bakal muncul dengan single berjudul Bilang I Love You tahun ini.

Zoey, 33, berkata, lagu itu juga sebagai syarat untuk dia terus mengembangkan bakat seninya di Indonesia.

“Lagu ini sudah siap dirakam dua tahun lalu. Ketika itu saya terbabit dalam beberapa projek di Indonesia. Jadi, mereka menyarankan saya untuk buat lagu sebagai satu bentuk promosi di sana.

“Sebenarnya ia menjadi satu bonus bagi seseorang hos atau pelakon di sana jika memiliki single. Kalau kebetulan ada program dan sesi ramah mesra, saya boleh menyanyikan lagu ini.

“Dalam erti kata lain, peminat juga mudah mengenali saya dengan lagu. Walaupun bidang nyanyian bukan kekuatan saya, tetapi saya buat dan turutkan saja,” katanya.

Zoey yang juga pelakon drama Mat Rukun tidak kisah jika single ciptaan Firman Priya Band nyanyiannya itu dikecam dan dikritik peminat.

“Saya reda dan sedia menerima apa jua maklum balas diberikan. Diakui saya tidak boleh menyanyi dan buta muzik. Malah, saya dengar nyanyian sendiri pun rasa geli.

“Namun, apabila saya perdengarkan kepada Ernie, dia kata lagu ini okey cuma saya saja yang perlu banyak lagi latihan. Malah, sebelum merakamkan lagu ini saya mengikuti kelas vokal Ernie,” katanya.

Menurut Zoey, baik atau buruk kritikan yang diberikan nanti dia tetap menganggap satu bentuk publisiti.

Zoey juga akui dia masih tidak berkeyakinan untuk menyanyi secara langsung jika terdapat permintaan daripada mana-mana pihak.

“Saya tahu kemampuan diri. Menyanyi dan menghasilkan single ini pun ibaratnya saya melawan ketakutan diri. Kalau ada yang minta nyanyi ‘live’ nanti, terus terang saya katakan memang ‘ke laut’,” katanya.

Lagu Bilang I Love You itu buat pertama kalinya diperdengarkan sempena sambutan hari jadi ke-33 Zoey awal bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 5:37 AM