Berita tular Sheila Mambo meninggal dunia. FOTO IG
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PELAKON veteran, Sheila Mambo terkejut ada pihak menularkan kononnya dia meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya selepas membuat penghantaran pulut kuning di Kuala Lumpur, baru baru ini.

Menerusi akaun Instagram (IG) miliknya, pelakon drama Andainya Takdir itu menjelaskan kemalangan terbabit cuma insiden kecil dan hanya cermin sisi sahaja mengalami kerosakan.

"Terkejut berita ini menular. Pagi pagi lagi keluarga, ibu dan ayah saudara menghubungi dan menghantar mesej pesanan ringkas. Ada juga yang sampai di depan pintu untuk memastikan kesahihan berita.

"MashaAllah, saya sihat dan Alhamdulillah. Cuma sikit jer kemalangan. Yang rosak cuma cermin sisi.

“Saya sendiri yang kongsikan di Facebook (Fb) namun ada cerita 'budi dan hati' di sebalik kejadian," kata Sheila atau nama sebenarnya, Rusilawati Hasan yang hanya menyedari tular itu hari ini.

Sheila turut memaafkan kekhilafan individu menyebarkan berita tidak benar itu.

Empat hari lalu, pelakon berusia 55 tahun itu mengalami kemalangan pada 1 petang di Bangsar selepas membuat penghantaran pulut kuning ditempah pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 9:57 PM