Aman pernah berhasrat tukar profesion. FOTO ROHANIS SHUKRI
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PENYANYI Aman Aziz mengakui pernah hampir berputus-asa dan berniat meninggalkan industri disebabkan hilang semangat untuk menjadi penyanyi.

Aman, 24, bahkan berdepan masalah ketakutan untuk berjumpa orang sehingga membuatkan dirinya hilang arah tuju dalam karier.

“Sejujurnya saya sudah tawar hati apabila apa yang saya usahakan tidak begitu berhasil. Ia sedikit-sebanyak menyebabkan saya rasa perjuangan selama ini tidak berbaloi.

“Bahkan, saya sudah memasang niat untuk bertukar bidang kepada fotografi seperti yang saya belajar di kolej.

“Semangat saya untuk terus menyanyi memang hilang ketika itu bahkan ia memberi kesan kepada tahap keyakinan diri. Saya tidak berani untuk berjumpa orang dan sentiasa rasa takut apabila keluar,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Aman dia tidak mahu menghampakan peminat yang terus menyokongnya dan tidak mahu sia-siakan platform sedia ada.

“Saya kena teruskan apa yang sudah saya mulakan dalam kerjaya seni. Lagipun, peminat pun terus mengharap agar saya tidak putus-asa dan saya tidak mahu hampakan mereka,” katanya.

Aman juga mengakui lagu barunya, Sulit memberi harapan baru buatnya meskipun lambat dimainkan di radio.

“Lama juga lagu itu mendapat perhatian untuk dimainkan di radio. Syukur, perlahan-lahan ia semakin mendapat permintaan dan sudah memasuki beberapa carta,” katanya.

Aman mula mencipta nama selepas mendapat tempat kedua program Akademi Fantasia 2014. Dia pernah menghasilkan dua single sebelum ini berjudul Without You dan Layang-Layang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 5:38 PM