Hj Zil harap apa diluahkan diambil serius. FOTO AZIAH AZMEE
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENERBIT, Md Fadzil Teh menerusi akaun Facebooknya meluahkan rasa kecewa kerana ada sesetengah syarikat produksi memandang remeh tidak menulis nama krew produksi di dalam kredit untuk beberapa karya.

“Saya menulis status itu selepas ada beberapa rakan dalam kalangan penggiat seni belakang tabir meluahkan rasa kecewa mereka.

“Jadi, saya perlu bersuara untuk menegakkan apa yang sepatutnya mereka terima. Bukan kerana wang ringgit semata-mata tetapi penat lelah mereka bekerja di belakang tabir akan lebih dihargai apabila adanya nama mereka tersenarai di dalam kredit,” katanya kepada Harian Metro.

Fadzil yang juga penerbit Zeel Production Sdn Bhd memberitahu bahawa nama di kredit penutup itu umpama portfolio buat mereka yang bekerja di belakang tabir.

“Mungkin ada produksi tidak merujuk kepada krew mengenai nama dan tugas mereka. Jadi, benda sebegini perlu dilihat dengan lebih terperinci,” katanya.

Selepas memuat naik status itu, semalam, dia menerima beberapa panggilan dan komen yang membina serta reaksi banyak pihak.

“Harapan saya semoga apa yang diluahkan itu diterima baik dan diambil serius.

“Portfolio paling penting untuk pekerja industri kerana dari situlah mereka mudah mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Dalam status itu, Fadzil menekankan beberapa perkara.

Antaranya nama krew yang tak dikredit dan juga bayaran untuk pekerja belakang tabir yang murah terutamanya penata gaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 3:42 PM