AJL32 saksi penguasaan penyanyi yang lahir daripada program realiti.
AJL32 saksi penguasaan penyanyi yang lahir daripada program realiti.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Tinggal beberapa jam saja lagi anugerah muzik paling lama dan berprestij negara, Anugerah Juara Lagu (AJL) kembali menggegarkan industri melalui rendisi ke-32, tepat 9 malam ini.

AJL32 yang bersiaran langsung menerusi TV3, mempertaruhkan 12 lagu terbaik sepanjang tahun lalu mengangkat tema fesyen dan muzik pada malam kemuncak yang berlangsung di pentas Axiata Arena, Bukit Jalil.

Menariknya, AJL32 juga menyaksikan penguasaan generasi baru di pentas pertandingan yang sebahagian besarnya lahir daripada pentas program realiti TV.

Pun begitu, penyanyi otai yang sudah biasa dengan pentas sebesar AJL tidak kurang mempunyai bisa tersendiri yang pastinya akan memberi persaingan cukup sengit.

Bagi Hazama Azmi, 34, enam kali melayakkan diri ke pentas AJL sudah cukup menjadikan dia antara pilihan terbaik setakat ini.

“Persiapan tahun ini agak pincang sebab pada masa sama saya sedang jalani penggambaran filem. Selasa lalu, barulah saya mula jalani latihan.

“Setiap tahun dugaan AJL berbeza. Kalau sebelum ini, saya ada masa sebulan untuk buat persiapan, paling kurang pun seminggu tapi kali ini masa sangat suntuk,” katanya.

Untuk persembahan pada malam AJL ini, Hazama mempunyai beberapa perancangan tersendiri hasil perbincangan dengan pasukan produksinya.

Katanya, jika lima tahun sebelum ini dia fokus pada gimik dan kejutan persembahan, malam ini fokusnya pada lagu saja.

Baginya, AJL bukan saja pasal penyanyi tetapi ia adalah rangkuman penjurian dari segi komposisi, lirik dan muzik itu sendiri.

“Saya mahu buat persembahan seperti konsert ‘live’ yang mempunyai elemen rockestra. Kalau boleh saya mahu mengimbau kembali gaya persembahan itu.

“Seperti saya katakan, lagu bukan saja pada suara tetapi terdiri daripada muzik dan suara. Elemen inilah yang melengkapkannya,” katanya serius.

Soal persaingan, Hazama mengakui kehebatan Dayang, Salma, Syamil, Hael waima Khai Bahar yang memiliki suara ‘power house’.

Berbeza pula lagu kerana ia adalah pilihan juri sama ada berkait rapat dengan populariti atau kualiti.

Antaranya, lagu ciptaan Ajai yang mempunyai tuntutan populariti dan kualiti tersendiri.

Begitu juga lagu Jampi nyanyian Hael yang disifatkan sebagai lagu yang kuat.

“Lagu Amboi nyanyian Altimet juga berpotensi besar sebab ia bukan sekadar mengenai vokal tetapi elemen dan kelainan pada susunan muziknya,” katanya lagi.

Dia bersama The Penglipur Lara yang mempertaruhkan lagu Aku Yang Sebenar ciptaan komposer hebat Datuk M Nasir dan Ad Samad, pernah mencipta sejarah peribadi melalui lagu Simetri (duet bersama Amy Search) di AJL27, Penglipur Lara (AJL28), Malaikat (AJL29), Sampai Mati (AJL30) dan Di Amaran Mama (AJL31).

Dalam pada itu, Salma Asis, 28, yang mempertaruhkan lagu Akhirnya Cinta ciptaan komposer popular Ajai dan penulis lirik Slen berharap dapat membuat persembahan menghiburkan, malam ini.

“Ini kali pertama saya berentap dalam AJL dan jujurnya memang gementar sebab ia sebuah pentas besar. Begitupun, saya perlu positif dan buktikan bakat saya melalui peluang ini.

“Bagi mencapainya, saya sudah menjalani latihan sejak Januari lalu. Syukur saya sudah persiapkan diri baik nyanyian, pakaian mahupun gaya persembahan,” katanya.

Namun begitu, dia enggan mendedahkan bentuk kejutan pada malam ini, sebaliknya memberi gambaran ia lebih kepada susunan muzik yang pastinya ada kelainan.

Penyanyi kelahiran Sabah itu tidak menafikan persaingan malam ini sangat sengit. Selain kemunculan penyanyi muda lagi popular, vokal dan lagu yang dipertandingkan juga tidak kurang hebatnya.

“Saya berharap dapat buat yang terbaik dan memuaskan hati komposer serta penulis lirik yang bertungkus-lumus menyiapkan lagu Akhirnya Cinta.

“Begitu juga keluarga, rakan-rakan dan peminat yang selama ini menyokong saya dari belakang,” katanya.

Memandangkan ini kemunculan pertamanya di pentas AJL, Salma menolak tepi soal menang atau kalah kerana apa yang lebih penting adalah menghiburkan penonton.

Menjadi satu-satunya penyanyi lagu genre hip hop, Altimet akui ramai yang mengharapkan persembahannya pada malam ini terbaik pernah dipersembahkannya.

Dia yang mempertaruhkan lagu Amboi ciptaannya sendiri bersama Navigator berkata, disebabkan harapan besar itu, dia tertanya-tanya apa bentuk persembahan yang perlu dilakukan nanti.

“Saya tak fikir nak menang sebab fokus saya hanya lakukan persembahan terbaik. Apatah lagi lagu Amboi adalah satu-satunya genre berbeza.

“Persiapan lain tiada sangat tapi saya anggap diri sebagai wakil kepada semua penyanyi hip hop pada malam ini,” katanya.

Berbicara mengenai persaingan, penyanyi itu berkata, lagu Jampi nyanyian Hael ada peluang cerah untuk menang.

Katanya, lagu itu seakan-akan ada magis tersendiri untuk ‘memukau’ peminat.

“Bukan saja lirik tetapi vokal Hael juga ada pesona tersendiri,” katanya ringkas.

Selain 12 lagu yang dipertandingkan, gandingan pengacara dijangka menghangatkan lagi AJL 32 iaitu Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

AJL 32 dibawa khas oleh Nivea Face Care, Nivea Pearl White Whip Foam dan Samsung Galaxy A8|A8+. Selain itu, Samsung turut menyumbang hadiah bagi kategori Anugerah Penyanyi Pilihan Samsung dan persembahan terbaik.

Pada malam ini, penonton turut dihiburkan dengan persembahan Stacy, AG Coco, Edrie Hashim, Waris, Awie, Siti Sarah, Datuk A Rahman Hassan dan Datuk Jeffrey Din.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 12:36 PM