Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PASUKAN penerbitan Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) sudah bersedia memberikan persembahan terbaik kepada penonton dan seluruh peminat setia acara berprestij itu yang bakal berlangsung malam esok di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil.

Penerbit Eksekutif AJL32, Nurhul Huda Khalid berkata, AJL tahun ini menampilkan sesuatu yang istimewa daripada keseluruhan penerbitan dan lagu yang bertanding.

“Malam ini diadakan sesi latihan penuh pertama. Apa boleh dikatakan, kami sudah bersedia. Setakat malam ini, sudah 90 peratus persiapan siap.

“Mengenai AJL tahun ini, pelbagai kejutan akan ditampilkan daripada setiap penyanyi mewakili lagu masing-masing. Malah, AJL32 juga menjanjikan sesuatu yang berbeza,” katanya kepada Harian Metro.

Huda yang ditemui berkata, dia berharap penonton yang tidak dapat hadir ke stadium boleh menonton secara langsung di rumah tepat 9 malam menerusi TV3.

“Selain persembahan pembukaan daripada Stacy, kami juga menampilkan gimik istimewa bersesuaian dengan tema AJL tahun ini iaitu Fesyen dan Muzik.

“Begitu juga dengan finalis terutama penyanyi, masing-masing cuba memberikan saingan dari segi vokal. Malah, kategori Vokal Terbaik antara ditunggu-tunggu peminat.

“Kalau tanya saya siapa yang bakal bergelar juara, ia tidak adil. Tunggu saja malam esok,” katanya.

Pada sesi latihan penuh dijalankan, hampir 2,000 penonton hadir memberikan sokongan.

AJL32 dihoskan pasangan pengacara popular, Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Selain Stacy, penyanyi lain yang turut membuat persembahan Siti Sarah, Datuk A Rahman Hassan, Datuk Awie dan Datuk Jeffrydin.

12 finalis bertanding terdiri daripada Separuh Mati Ku Bercinta ciptaan sepenuhnya Ajai dinyanyikan Dayang Nurfaizah, Sejati (Faizal Tahir/Mike Chan/Azmi Caliph Busker), Menahan Rindu (Ibnu & Gouffran/Wany Hasrita), Tergantung Sepi (Gouffran/Ibnu/Haqiem Rusli), Lebih Sempurna (Syamel) dan Aku Cinta (Syamel/Ernie Zakri).

Lagu lain ialah Warkah Untukmu (Hang Nadim/Laq/Ara Johari), Bayang (Alam Harry Khalifah/Patrick Anahonda/Khai Bahar), Jampi (Hael Husaini/Ezra Kong), Aku Yang Sebenar (M Nasir/Ad Samad/Hazama & The Penglipurlara), Amboi (Navigator/Altimet) dan Akhirnya Cinta (Ajai/Slen/Salma).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 11:26 PM
Stacy bersama penari latar berlatih menjelang AJL32 di Axiata Arena. FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI