EZAD beri tip kepada Lan supaya ada karakter kuat dari segi imej mahupun lagu untuk bergerak solo.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Fakta menarik dalam industri muzik membabitkan dua penyanyi ini iaitu Ezad Lazim dan Lan Solo. Ternyata mereka mempunyai banyak persamaan dalam memperjuangkan bakat dimiliki.

Cuma bezanya, apa yang dilalui oleh Lan Solo sekarang terlebih dulu dilalui Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizad Mohd Lazim. Malah, dia sudah merasai jatuh dan bangun sebagai penyanyi solo.

Ezad meninggalkan kumpulan Exist selepas berdepan dengan masalah bersama anggota lain dan kemudian bergerak secara solo dan menukar namanya daripada Ezad Exist kepada nama sebenar, Ezad Lazim.

Ezad juga menyertai pertandingan realiti Gegar Vaganza musim kedua (GV2) dan memenangi tempat ketiga kini dikenali sebagai penyanyi solo selepas berjaya dengan single Demi Cinta.

Ezad kini mempromosikan lagu terbarunya, Kuasa Cinta diuruskan isterinya, Nor Azeana Ramli atau Azeana.

Lan Solo pula dilihat seperti ‘berjalan’ ada bekas tapak Ezad, apabila memutuskan bergerak sendiri selepas meninggalkan kumpulan Kristal.

Menerima tawaran menyertai Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Lan memenangi tempat ketiga dan mengumumkan kepada peminat dia menggunakan nama Lan Solo dan tidak lagi menggunakan panggilan Lan Kristal.

Secara kebetulan sebaik memutuskan untuk bergerak solo, Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof turut melantik isterinya, Nur Sheila Hassim menjadi pengurus.

Melihat persamaan dari sudut berbeza, kata Ezad, Lan lebih bernasib baik kerana kontroversi dengan anggota Kristal dan keputusan bergerak solo di saat dia mempertontonkan bakat dan kemampuannya menerusi GV4.

“Jika hendak diikutkan perjalanan saya dan Lan sama. Saya dulu bersama Exist juga berdepan masalah. Begitupun saya ambil masa lama sebelum berpeluang untuk menyertai GV2.

“Saya bergerak solo dengan mencuba keluar single sebelum ini tetapi ketika itu ia kurang mendapat liputan. Jujur ketika itu, kerjaya seni goyah dan saya masih tercari-cari.

“Selepas berkahwin dan diuruskan isteri, rezeki menyertai GV2. Bermula dari situlah kerjaya seni solo saya menampakkan sedikit impak positif,” katanya.

Ezad berkata sepanjang bergelar penyanyi solo selepas meninggalkan Exist, perjalanannya sukar kerana peminat masih membayangkan imejnya sebagai artis berkumpulan.

“Ini kerana nama Exist memang besar. Lan juga berdepan perkara sama kerana nama Kristal juga besar. Semua orang tahu setiap anggota kumpulan itu pemuzik berbakat. Mampu menghasilkan dan menerbitkan lagu sendiri.

“Masa saya tampil di pentas untuk menyanyi, peminat masih keliru dan menganggap saya bersama Exist. Dalam situasi ini, untungnya Lan, apabila dia sudah menyatakan kepada umum yang dia kini menyanyi solo. Jadi untuk dia merancang kerjaya seninya lebih mudah dan penerimaan peminat juga lebih cepat,” katanya.

Berkongsi tip, kata Ezad untuk bergerak solo, Lan perlu mempunyai karakter kuat sama ada dari segi imej mahupun lagu kerana penyanyi sekarang bergantung penuh kepada single dan bukan album.

“Ini dari pemerhatian saya kerana seperti saya waktu itu harus bersaing dengan ramai penyanyi solo sedia ada antaranya Anuar Zain dan yang masih bertahan seperti Datuk Nassir Wahab. Zaman sekarang kita ada Hael, Khai Bahar dan Syamel. Mereka sudah membina imej mereka dalam industri seni.

“Benar, saya dan Lan sudah mempunyai nama tetapi untuk memastikan lebih menonjol sebagai penyanyi solo, kami perlu ada imej. Lagu juga harus sesuai dan mampu memenuhi selera ramai,” katanya.

Ezad juga positif dalam jangka masa panjang tidak mustahil Lan akan kembali bekerjasama dengan kumpulan Kristal seperti mana berlaku kepadanya bersama Exist yang sudah beberapa kali ditemukan untuk bergabung dan mengadakan konsert.

“Bagaimanapun, saya yakin Kristal akan berjaya dan begitu juga dengan Lan kerana mereka semua sudah mempunyai nama dan kredibiliti. Saya percaya andai Kristal mempunyai penyanyi utama kelak, ia juga mampu meneruskan perjuangan Kristal dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 4:59 AM