ELDA nyanyi dengan bintang baru Indonesia, Habib Duo Alfin.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


Selepas 15 tahun menyepi daripada karier seni, penyanyi Elda Susanti Abdul Majid, 34, teruja untuk muncul dengan single duet pertamanya.

Apatah lagi, single duet yang bergenre ‘world music’ itu adalah hasil ciptaan komposer terkenal, Pak Ngah dan liriknya ditulis Siso.

Baru masuk ke studio merakamkan single itu, Elda berkata, lebih besar harapannya kerana lagu itu dinyanyikan bersama bintang baru dari Indonesia.

“Saya mendapat kepercayaan merakamkan single duet ini bersama bekas peserta pertandingan D’Academy Asia 2 (DAA2) iaitu Habib Duo Alfin.

“Ia menjadi harapan saya untuk dijadikan taruhan pertama merancakkan semula karier nyanyian diceburi.

“Selepas berbelas tahun menyepi daripada nyanyian dan aktif semula sejak 2015, saya enggan mensia-siakan peluang yang datang,” katanya.

Mengulas judul single duet itu, Elda berkata, buat masa ini ia masih belum diputuskan lagi.

Katanya, apapun yang paling utama biarlah proses rakaman lagu diselesaikan dulu dan kemudian baru ditetapkan judul sesuai.

Elda yang juga ibu lima anak mendirikan rumah tangga bersama bekas pemain dram kumpulan Rio, Syed Tawfik Syed Salleh, 51.

Karier nyanyian yang diurus sendiri oleh suaminya membuatkan Elda semakin sibuk memenuhi undangan nyanyian.

Selain mendapat peluang persembahan untuk majlis hiburan di negara ini, Elda juga kerap terbang ke Indonesia memenuhi tawaran persembahan.

“Alhamdulillah, inilah rezeki saya buat keluarga terutama menyara anak yang masih kecil dan bersekolah.

“Apapun, saya tidak sangka masih mendapat peluang menyanyi dan saya juga perlu bekerja keras untuk membina semula nama dalam karier seni,” katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Syed Tawfik, mereka dikurniakan lima anak iaitu Sharifah Amna Safiyyah, 13; Sharifah Aisyah Syahdina, 10; Sharifah Aina Najiha, 9; Syed Nafis, 6 dan Sharifah Dorrah, 4.

Masih lagi mampu mengatur masa yang baik bersama keluarga, Elda juga gembira dengan pencapaian baik anak sulungnya, Sharifah Amna Safiyyah dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Dalam keputusan UPSR baru-baru ini, Sharifah Amna Safiyyah berjaya memperoleh 3A dan 3B.

“Malah, jika tiada aral dia akan belajar di Sekolah Seni Kuala Lumpur pada April nanti dan tinggal di asrama.

“Sebagai ibu pada mulanya saya bimbang juga untuk memberi kebenaran dia belajar di sekolah berasrama penuh.

“Namun, demi masa depannya dan juga impiannya sendiri semestinya saya harus akur.

“Sebagai anak sulung dia perlu menunjukkan contoh terbaik buat adik-beradik yang lain dalam pelajaran,” katanya.

Biarpun buat masa ini, Sharifah Amna Safiyyah bersekolah sementara di sekolah menengah kebangsaan (SMK), Elda berkata, pelajaran anak sangat diutamakan.

“Apapun, saya hanya berharap dan mendoakan dia menjadi anak yang berjaya,” katanya.

Elda yang mula aktif menyanyi pada 1997, meninggalkan karier nyanyiannya selepas berkahwin. Suatu ketika dulu, dia pernah popular dengan lagu Yang Ku Sayang dan Kau Penggoda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 4:50 AM