EMMA
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Walaupun selama 20 tahun tiada kedengaran berita mengenainya, tetapi sebenarnya penyanyi lagu Kembalilah dan Redup Tak Berimbun, Emma, 45, masih aktif dalam dunia hiburan tanah air.

Emma ketika ditemui berkata, dia kini menetap di Johor bersama suami dan anak.

“Saya masih aktif menyanyi dan menjadi ejen untuk semua syarikat rakaman yang mahu mempromosikan penyanyi serta lagu mereka untuk pasaran Johor dan Singapura menerusi syarikat milik saya sendiri, Impact Music & Entertainment.

“Tiada cerita baru, seganlah saya nak berjumpa media. Bagaimanapun, tahun ini saya akan muncul dengan single baru berjudul Sudah Berlalu. Ia akan berada di pasaran tidak lama lagi dan akan dilancarkan serentak di Indonesia,” katanya.

Sudah Berlalu adalah kerjasama Emma dengan bekas vokalis Nirwana Band iaitu Denis Chairis yang popular dengan lagu Sudah Cukup Sudah.

Menurut Emma atau nama sebenarnya, Rahimah Sukor, walaupun proses rakaman Sudah Berlalu mengambil masa agak lama untuk disiapkan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk tampil dengan lagu baru.

“Ramai peminat memberi sokongan untuk saya tampil semula dengan lagu baru sejak lagu rock balada mendapat tempat semula dalam kalangan peminat muzik. Dengan sokongan merekalah saya kembali dengan lagu baru,” katanya.

Imbas semula pembabitan Emma dalam bidang muzik, dia mula aktif menyanyi pada 1989 dan menghasilkan album dengan kumpulan Revolusi dan Bayangan Misteri menjadi lagu popular mereka ketika itu.

“Waktu itu kami bernaung di bawah syarikat rakaman Mega Records dan album edaran Musical Sound Organisation Malaysia. Jualan album ketika itu melebihi 50,000 unit,” katanya.

Kemudian pada 1993 Emma melahirkan album solo dan dikenali dengan lagu Kembalilah dan Redup Tak Berimbun.

Album itu berjaya dijual lebih 70,000 unit dan lagu Redup Tak Berimbun dijadikan lagu tema untuk drama terbitan RTM.

Album keduanya diterbitkan pada 1995 dengan menampilkan dua lagu popular berjudul Impian Semalam dan Kasih Tak Bertepi.

Emma bersama rakan artis lain seperti Datuk Nash, Datuk Hattan, Nora, Iwan Dangdut, Jay Jay, Sheeda Dangdut merakamkan lagu tribute untuk Datuk Ramli Sarip.

Emma juga sempat merakamkan lagu duet dengan Mus MAY yang berjudul Dunia pada 2007.

“Single terbaru saya ini saya hadiahkan kepada semua peminat yang masih ingat pada saya dan terus memberikan sokongan sejak dulu hingga sekarang,” katanya.

Menurut Emma, dia terima semua undangan membuat persembahan nyanyian terutama untuk majlis anak yatim tanpa mengira bayaran.

“Saya pun anak yatim jadi saya memahami perasaan mereka yang kehilangan ibu bapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:43 AM