ZUL Huzaimy
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Tidak dinafikan Zul Huzaimy, 40, pernah mencipta populariti tersendiri dalam kerjayanya sebagai pelakon. Bahkan lakonannya dalam filem Remp-It pada 2006 melonjakkan namanya dalam kalangan peminat.

Cuma kebelakangan ini wajahnya agak jarang kelihatan dalam drama TV dan ia menimbulkan persoalan kepada peminat pelakon berasal dari Gerik, Perak itu.

Zul mengakui pembabitannya kini sebagai pengarah drama membuatkan dia terpaksa membahagikan masa antara berlakon dan mengarah.

“Minat saya dalam lakonan masih menebal tetapi pada waktu ini fokus memang pada pengarahan. Mengarah menuntut banyak masa kerana selepas habis penggambaran, saya akan sibuk dengan proses suntingan pula. Saya memang suka jadi pengarah dan akan memberikan hasil yang terbaik,” katanya.

Menurut Zul, melihatkan kepada jadual pengarahannya yang panjang, sukar baginya memberikan komitmen kepada drama bersiri.

“Biasanya kalau skrip sendiri, saya akan berlakon. Kalau ada tawaran daripada pengarah lain pun, saya akan pertimbangkan sekiranya watak itu menarik.

“Untuk tahun ini, saya akan mengarahkan telefilem berjudul Terima Kasih Cikgu bermula 15 Januari ini diikuti telefilem Check In (23 Januari),” katanya.

Kerinduan peminat untuk menyaksikan lakonannya terubat apabila Zul akan membintangi telefilem khas untuk Aidilfitri di bawah arahan Rashid Sibir.

“Rashid sangat dikenali dengan gaya pengarahannya yang bagus dan saya memang mahu bekerja dengannya. Kebanyakan drama arahannya mendapat sambutan baik daripada penonton,” katanya.

Dalam pada itu, Zul juga terbabit dengan kempen kesedaran alam sekitar dan sedang menyiapkan dokumentari berjudul The Shark Fin Soup For Sea Gypsy.

Usia pembabitannya dalam seni sudah mencecah 20 tahun. Sesuai dengan pengalaman luasnya dalam bidang teater, drama dan pengarahan, Zul ingin berkongsi ilmu dengan menganjurkan kelas asas lakonan untuk TV dan filem.

“Kelas lakonan itu akan berlangsung hari ini (Sabtu) di Setapak, Kuala Lumpur, mulai jam 9 pagi hingga 6 petang. Saya akan curahkan ilmu yang dipelajari ketika menuntut di ASWARA (Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan) sehinggalah terbabit dalam lakonan,” katanya.

Katanya, ilmu yang diajarkan olehnya bukan hanya sesuai diaplikasikan dalam seni tetapi merangkumi semua bidang pekerjaan.

“Tujuannya untuk meningkatkan keyakinan diri apabila bercakap depan orang ramai. Ada juga mereka yang rasa gementar apabila hadir temu duga kerja dan tip yang saya berikan mungkin dapat membantu mengatasi masalah ini.

“Saya pernah anjurkan kelas sama pada 2012 dan sambutan yang diterima begitu menggalakkan,” katanya.

Kursus asas lakonannya itu mengenakan yuran bayaran RM200 dan keterangan lanjut boleh didapati di Facebooknya, Zul Huzaimy.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 3:32 AM