NINA
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

Nama Siti Fazurina Mohd Famir, 35, atau Nina menjadi sebutan peminat ketika dia berlakon dalam drama Puteri dan Dunia Anita.

Kedua-dua drama itu adalah arahan Aziz M Osman yang diterbitkan pada 2005.

Menerusi drama Dunia Anita, Nina terus dikenali sebagai pelakon komedi remaja yang menampilkan lakonan memberangsangkan.

Bermula dengan siri Dunia Anita, Nina sering digandingkan dengan pelawak Zul Yahya hinggalah ke beberapa siri TV lain.

Namun sekarang, selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Hykal Zulkifli lima tahun lalu, dia kini sibuk membantu suaminya itu dalam perniagaan pengurusan acara.

Pada Disember lalu, dia dan Hykal mendapat kepercayaan daripada pelakon Hilal Azman untuk bekerjasama menganjurkan acara penutup Tahun Melawat Perak 2017.

Acara selama seminggu itu diadakan di Taiping bertemakan Larut British Malaya.

“Memang rindu untuk berlakon seperti dulu dan tawaran masih ada tetapi tarikh penggambaran bertembung dengan jadual penganjuran acara seperti Disember lalu, terpaksalah saya tolak.

“Walaupun sekarang saya hanya dapat berlakon satu atau dua drama setahun, dapatlah juga mengubat kerinduan terhadap dunia lakonan. Bagaimanapun, hubungan dengan rakan artis ketika berlakon dalam Puteri dan Dunia Anita ada yang masih rapat sehingga sekarang,” katanya.

Apabila mengenangkan usianya semakin meningkat dan dengan perniagaan yang semakin berkembang, Nina tidaklah begitu terkilan sangat jika dia tidak dapat berlakon sekerap dulu.

“Waktu muda dulu, bolehlah saya pegang watak utama. Sekarang makin ramai pelakon baru, muda dan cantik.

“Namun, saya tidak pernah rasa ketinggalan atau sunyi kerana apabila dapat projek baru, saya memang sibuk,” katanya.

Nina berkata, sekarang dia mahu berlakon filem kerana pasarannya lebih luas.

Barangkali ramai yang tidak tahu, Nina pernah mencuba nasib menjadi penyanyi dengan menyertai pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan dan berjaya sehingga ke final.

Jadi, dia juga menyimpan hasrat untuk menghasilkan single.

“Saya boleh menyanyi tetapi buat single bukan untuk bertanding. Ia sekadar nak menguji diri sendiri tetapi tak tahulah bila ia akan jadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:33 AM