AKIM & The Majistret
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Festival GegaRia yang akan berlangsung esok di tapak letak kereta B, Setia City Convention Centre, Shah Alam bakal dihangatkan dengan persembahan artis popular tanah air.

Persembahan di pentas utama itu menampilkan penyanyi terkenal iaitu Noh Salleh, Bunkface, De Fam, Akim & The Majistret dan Masdo.

Konsert bermula jam 4 petang hingga 10 malam itu turut menyaksikan kehadiran enam finalis Anugerah Juara Lagu ke-32 seperti Salma, Haqiem Rusli, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari dan Hael Husaini.

Menggabungkan pelbagai elemen gaya hidup dengan konsep lebih santai dan hipster, karnival anjuran Media Prima Berhad itu turut menghimpunkan pelbagai acara seni seperti permainan, kecergasan, juadah enak serta fesyen kepada orang ramai bermula jam 8 pagi.

Festival sehari itu dibahagikan kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan #GegaRia.


ERNIE ZAKRI

Zon Makan-Makan disertai pelbagai trak makanan, makanan segera, tradisional dan demonstrasi masakan.

Pengunjung juga berpeluang mempelajari resipi baru dan bertemu Cef Fikree Aznan dan Cef Naem dalam aktiviti Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM).

Di Zon Throwback Tunnel, orang ramai dapat menimba inspirasi berharga mengenai perkembangan negara menerusi dua kontena yang berhias artistik, mempamerkan seni yang menceritakan era perkembangan Malaysia bermula 1950-an hingga kini, hasil kerja jurugambar The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP).

Zon Gaya Hidup (#Gegaria Lifestyle) pula dikendalikan personaliti Dayah Bakar menyediakan pentas mini untuk sesi perkongsian oleh usahawan muda, selebriti media sosial dan enam finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) 32 mengenai petua menarik media baru, fesyen serta perkembangan artis.

Pentas mini Gaya Hidup juga akan diisi demonstrasi solekan dan hijab dengan personaliti Mafarika, Jessica Ong, Nabila Razali, De Fam, Elfira Loy, Padin Musa, Noh Salleh, Salma Asis, Haqiem Rusli, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari, Hael Husaini serta The Ming Thing.

Zon Komuniti (#Gegaria Community) pula menyediakan pelbagai aktiviti, termasuk derma darah, pemeriksaan kesihatan dan pendaftaran pemilih dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).


BUNKFACE

Dalam pada itu Zon Hiburan #Gegaria (#Gegaria Entertainment) agak berbeza kerana beroperasi sepanjang hari dari jam 8 pagi hingga 10 malam, antara lain menampilkan aktiviti seperti zumba, permainan tradisional dan elektronik.

Pengunjung juga berpeluang berkongsi dan menimba ilmu daripada selebriti sosial media terkenal seperti Faiz Dickie dan JinnyboyTV yang akan berkongsi kisah kejayaan dalam kerjaya masing-masing.

Bukan sekadar berhibur malah pengunjung berpeluang menyertai pelbagai acara kecergasan dan sukan tradisional seperti zumba, congkak, teng-teng, gasing, baling selipar dan jengga selain e-games menawarkan hadiah wang tunai RM10,000.

Selepas Setia City, Shah Alam, Festival GegaRia akan diadakan di Angsana Johor Bahru Mall, Padang A, Johor Bahru pada 3 Februari ini dan Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 3:31 AM