VIDA pilih lagu Inggeris supaya tular hingga ke peringkat antarabangsa.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Walau apa tohmahan dan cacian dilemparkan kepadanya, Datuk Seri Vida atau nama penuhnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, 46, tetap meneruskan hasratnya mahu bergelar penghibur.

Tampil dengan single sulung berjudul I Am Me, baginya dia perlu sentiasa memuaskan dirinya dengan segala perkara yang disukai termasuk bidang nyanyian .

Dilancarkan pada 14 Julai lalu, nampaknya, lagu Vida yang juga seorang ahli perniagaan meninggalkan impak tersendiri. Bukan saja ‘catchy’ bahkan melodi lagu berkenaan mudah untuk diingati.

Yang pasti, menurutnya dia sangat serius mahu menceburi bidang hiburan dan lagu berkenaan bukan lagu produk sebagaimana disangka ramai.

“Saya serius mahu jadi seorang penghibur. Sudah terlajak dapat kesempatan untuk berada dalam industri ini, kenapa tidak tunaikan hasrat menjadi penyanyi pula?

“Ini bukan lagu produk sebaliknya memang single sebenar saya yang pertama. Ia bukti saya mahu menceburi bidang nyanyian dengan sungguh-sungguh.

“Biarlah orang mahu mengata atau mencaci, namun bagi saya ini cabaran hidup terbaru untuk saya. Segala perkara lain termasuk penajaan sudah saya lakukan dan kini buat benda baru dalam hidup,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu itu, Vida mengakui dia mahukan sebuah karya yang mudah melekat di telinga dan dinikmati segenap lapisan umur.

Katanya, dia mahu lagu yang mampu menembusi pasaran luar negara dan disebabkan itulah memilih lagu Inggeris.

“Saya sengaja memilih lagu Inggeris dan mahukan melodi yang kedengaran seperti lagu tular nyanyian penyanyi antarabangsa seperti Psy. I Am Me ternyata sebuah lagu yang boleh dinikmati seisi keluarga.

“Saya berharap akan dapat menembusi pasaran antarabangsa dengan lagu ini. Kalau boleh saya mahu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dengan lagu ini dan mencipta kejayaan tersendiri di luar pula,” katanya.

Sementara itu, komposer Edry Abdul Halim yang mencipta lagu berkenaan memang mahukan lagu yang boleh menjadi tular dan jadi perbualan.

“Tujuan utama untuk lagu itu menjadi tular memandangkan Datuk Seri pun seorang yang suka dengan perkara yang menarik perhatian.

“Memang liriknya seakan-akan memuji diri sendiri. Namun, sebenarnya ia menceritakan mengenai bagaimana hendak membina keyakinan diri. Mesejnya sangat mendalam dan memang cukup kuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:04 PM