AIMAN Tino kembali beraksi dengan penyanyi pop yeh yeh.
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Pada usia yang masih muda, penyanyi Aiman Tino bersyukur kerana sekali lagi diberikan peluang berkongsi pentas dengan penyanyi dari generasi pop yeh yeh.

Menjelang 4 dan 5 Ogos ini, penyanyi lagu popular Ku Rela Dibenci ini bakal menghangatkan pentas Panggung Bangsawan Melaka menerusi Konsert Gegar Pop Yeh Yeh.

“Tentunya saya berasa sangat teruja tetapi pada masa sama, rindu untuk membuat persembahan kerana Mac lalu pernah muncul di konsert sama yang berlangsung di Istana Budaya,” katanya.

Menurut Aiman, untuk Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang kedua ini, akan ada kelainan ditampilkannya berbanding sebelum ini.

“Ada beberapa kelainan yang ditampilkan dalam konsert kali ini. Seleksi lagu yang akan saya persembahkan juga berbeza dan ada lagu tambahan,” katanya.

Selain itu, Aiman juga tampil dengan beberapa tarian ringkas untuk memeriahkan konsert itu.

“Sejujurnya, kali ini saya lebih yakin berbanding sebelum ini. Mungkin kerana sudah mengenali penyanyi lain dan ada pengalaman sebelum ini.

“Saya juga akan menari dan ini menjadi pengalaman pertama untuk menari lebih-lebih lagi tarian pop yeh yeh. Jadi, saya akan sampai sehari lebih awal untuk menjalani latihan ringkas,” katanya.

Pada Konsert Gegar Pop Yeh Yeh, Aiman bakal mempersembahkan enam lagu antaranya Dendang Remaja dan La O Be.

“Ada antara lagu yang disenaraikan adalah lagu yang belum pernah dinyanyikan sebelum ini. Jadi, akan ada sedikit susunan yang baru dan berbeza berbanding versi asal,” katanya.

Terbaru, Aiman giat mempromosikan single terbarunya, Ku Hanya Sayang Padamu.

“Alhamdulillah, selepas sebulan video lirik lagu Ku Hanya Sayang Padamu dimuat naik ke YouTube, jumlah tontonannya mencecah sehingga lebih empat juta.

“Kalau mengikut perancangan asal, saya ingin keluarkan album mini dalam tahun ini, namun, ditunda sehingga ke tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 3:23 PM