SHAHROL Shiro.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Sewaktu mengambil keputusan untuk meninggalkan konti radio Era, khabarnya anggota kumpulan pelawak terkenal Shiro, Shahrol Azizie Azmi mahu perlahan-lahan meninggalkan dunia seni.

Keputusan dibuat juga dilihat serius apabila anggota kumpulan lawak yang muncul naib juara Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) itu sebelum ini membuat keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Kluang, Johor dan memulakan operasi produksinya di sana.

Tambahan pula keluarganya juga berada di Kluang, jadi perkara itu mengukuhkan lagi khabar yang didengar.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya apabila sebaik muncul naib juara bersama temannya Ajak, Shahrol dilihat kembali aktif.

Bukan itu saja, baru-baru ini stesen radio Suria FM turut mengumumkan Shahrol menyertai mereka dan akan mengendalikan program pagi menggantikan tempat Halim Othman.

Ditemui bagi menceritakan lebih lanjut mengenai perancangan terbaru itu, kata Shahrol, dakwaan mengatakan dia akan meninggalkan dunia seni tidak benar sama sekali.

Bagaimanapun, katanya, dia memperlahankan rentak karier seni kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan terutama produksi ditubuhkan, Bussido Production adalah benar.

“Selepas kontrak bersama radio Era tamat November lalu, memang saya mahu menumpukan perhatian kepada produksi ditubuhkan. Apatah lagi Bussido Production beroperasi sepenuhnya di Kluang.

“Bagaimanapun, selepas muncul naib juara di MLM 2017, kerjaya seni saya kembali rancak dan banyak tawaran diterima. Melihatkan perkembangan itu, saya membuat keputusan untuk membawa operasi produksi itu ke Kuala Lumpur.

“Keputusan itu saya ambil memandangkan sekarang apabila banyak tawaran diterima untuk berlakon dan berlawak menyebabkan urusan produksi tergendala,” katanya.

Kata Shahrol, Bussido Production yang baru ditubuhkan itu kini sibuk merancang untuk menerbitkan karya yang bakal disiarkan di Astro dan pada waktu sama menghasilkan video komersial. Antara yang dihasilkan adalah video viral untuk Perodua Bezza, kurta dan produk kecantikan.

“Disebabkan beroperasi di kampung, projeknya tidaklah besar. Pekerja saya pun terdiri daripada orang kampung saya sendiri. Bagaimanapun, apabila saya mula sibuk, tiada pilihan saya harus berpindah. Bagaimanapun buat masa ini, keluarga saya masih lagi menetap di sana,” katanya.

Mengenai keputusannya untuk kembali ke konti dan menjadi penyampai di Suria FM, Shahrol akui memang sejak dulu dia mahu menjadi penyampai radio seperti arwah Din Beramboi.

Katanya, selepas kontraknya ditamatkan, dia membuat keputusan untuk pulang ke kampung dan berehat terlebih dulu.

“Ada dua lagi stesen yang menawarkan saya untuk menjadi penyampai tetapi selepas memikirkannya dengan mendalam, saya memutuskan untuk menjadi penyampai bersama Suria.

“Sebabnya saya berasa selesa untuk bekerja dengan Zulin dan Fizi selepas menjalani tempoh percubaan selama seminggu.

“Saya berasakan kami mempunyai keserasian. Tambah pula sebelum ini saya memang sudah beberapa kali beraksi bersama Zulin di pentas. Apabila berasa senang, saya rasa ini adalah tawaran yang tidak sepatutnya saya lepaskan,” katanya.

Menggantikan tempat Halim yang berpengalaman, Shahrol akui ia tanggungjawab besar apatah lagi Halim memang diketahui umum sebagai penyampai radio yang baik.

“Cuma dalam hal ini, penampilan saya sebagai pelawak tidak akan menampilkan lawak melampau sebaliknya saya mahu memberikan lawak positif dan tidak kosong seperti mana yang saya sajikan dalam MLM 2017. Biarlah lawak saya itu berisi dan pendengar dapat manfaat daripadanya,” katanya.

Sebelum ini Shahrol juga pernah mengatakan apabila menjadi penyampai radio, dia sudah tidak punya banyak masa untuk kerjaya seni lain dan ia diakui oleh Shahrol.

Bapa kepada dua anak ini berkata, sewaktu bertugas di Era waktu bekerjanya pada petang sedangkan dalam waktu itulah pelbagai aktiviti seni lain rancak berjalan.

“Tiada pilihan, saya terpaksa menolaknya kerana saya bekerja di Era sepenuh masa. Memang di Suria saya bekerja sepenuh masa juga tetapi apabila mengendalikan program pagi, saya masih ada masa untuk melakukan aktiviti lain pada sebelah petang hingga malam.

“Malah, ia turut memudahkan saya untuk melaksanakan urusan membabitkan pengurusan produksi. Itu juga antara faktor mengapa saya menerima tawaran Suria,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 7:50 AM