PSY
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Populariti lagu Gangnam Style yang memperoleh lebih lima bilion tontonan di YouTube melonjakkan nama penyanyi Korea Selatan, PSY di serata dunia.

Hampir lima tahun berlalu selepas Gangnam Style, penyanyi rap ini masih berdiri teguh dalam industri muzik dan baru-baru ini memperkenalkan album baru berjudul 4X2=8.

Di sebalik kejayaan besar PSY, penyanyi itu pernah mengalami tekanan selepas Gangnam Style tular di media sosial sehingga mencetuskan fenomena luar biasa.

“Dulu, saya tertekan kerana Gangnam Style, lagu yang saya tidak pernah lakukan apatah lagi mencapai kejayaan luar biasa.

“Sekarang, hidup saya ceria dan rasa diri lebih tampan. Menghasilkan album baru ini membolehkan saya menjauhkan diri dari Gangnam walaupun sebahagian besar rakaman lagu dilakukan di kawasan itu,” katanya dalam temu bual bersama Billboard, baru-baru ini.

Ketika ditanya reaksinya sekiranya ada klip video berjaya menandingi jumlah tontonan Gangnam Style di YouTube, PSY menjangkakan lagu hit See You Again nyanyian Wiz Khalifa bakal memecahkan rekod itu.

“Bagi saya, Gangnam Style adalah trofi terbesar dalam hidup yang diberikan penonton di seluruh dunia.

“Trofi itu sentiasa dalam ingatan dan sentiasa berasa bangga terhadap pencapaian ini.

“Saya menyedari lambat laun pasti ada klip video bersaing dengan Gangnam Style dan berasakan See You Again lagu yang hebat. Saya mengulangi klip video lagu itu banyak kali,” katanya.

Mengenai 4X2=8, lagu I Luv It dan New Face yang dimuatkan dalam album itu menjadi pertaruhan single baru PSY yang menerima sambutan hangat pendengar.

“Saya memilih mengetengahkan lagu rancak EDM. Bagi I Luv It, saya berusaha menghasilkan klip video dengan konsep berbeza daripada lagu sebelum ini.

“Aksi Lee Byunghun yang menarik perhatian penonton. Secara peribadi, saya menggemari klip video New Face kerana konsepnya lebih sesuai dengan saya,” katanya.

Sejak dimuat naik tiga minggu lalu, I Luv It dan New Face masing-masing mencecah lebih 35 juta dan 37 juta tontonan.

Menyedari dua lagu itu sudah mencapai kejayaan, PSY menganggap ‘kegilaan’ peminat terhadap klip video terbabit disebabkan lirik babak tertentu.

“Saya puas hati terhadap jumlah tontonan itu. Dalam satu babak saya ada sebut ‘I take it way too far got planes up in the air’, “ katanya.

Menurut PSY, dia berhasrat mengeluarkan lagu berbahasa Inggeris pada masa depan sebagai hadiah kepada penyokongnya.

“Saya rasa seperti tidak realistik setiap kali melihat lambakan komen dalam pelbagai bahasa di saluran SNS saya dan akaun YouTube.

“Namun, saya akan terus menyanyi dan rap dalam bahasa Korea,” katanya.

Album 4X2=8 turut menampilkan kolaborasi PSY dengan beberapa artis terkenal antaranya G-Dragon, Taeyang serta anggota iKON, B.I dan Bobby.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 4:20 AM