AZMI paling ramai peminat dan diramal menjadi juara.
AZMI berduet dengan Zarith.
ZARITH
MEL berduet dengan Dian dalam lagu Total Eclipse of the Heart.
PERSEMBAHAN Ramli Sarip mendapat tepukan berdiri penonton.
ELLA bersama Awie selaku juri.
MEL (dua dari kanan) bersama finalis lain Azmi, Dian dan Zarith (kanan).
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Walaupun peserta dari Pahang, Azmi diramal sebagai juara, Mel mencipta kejutan apabila muncul juara program pencarian bakat Rockanova yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Mel, 33, atau nama sebenarnya Malisa Janudin yang menyanyikan lagu Bintang Kehidupan (nyanyian asal Nike Ardilla) dan Total Eclipse of The Heart bersama Dian berjaya menyakinkan juri dengan kehebatan vokalnya.

Walaupun Mel memiliki vokal hebat, namun Azmi dilihat mendapat sokongan peminat.

Dalam saingan akhir itu, Mel mengumpul markah keseluruhan 66.02 peratus diikuti Azmi (60.41 peratus), Zarith (54.42 peratus) dan Dian (46.11 peratus).

Kemenangan itu juga membolehkan Mel membawa pulang hadiah wang tunai RM80,000 serta trofi, Azmi (RM40,000 dan trofi), Zarith (RM20,000 dan trofi) dan Dian (RM10,000 dan trofi).

Mel yang juga anak jati Johor berkata, dia tidak menyangka kemenangan berpihak kepadanya.

“Saya masih terasa seperti bermimpi lagi. Memang saya berpuas hati dengan persembahan malam ini (kelmarin), tetapi tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.

“Kami sendiri menjangkakan Azmi akan menang. Namun, saya cuba memberi persembahan terbaik tanpa meletakkan harapan tinggi kerana semua finalis bagus-bagus belaka,” katanya.

Sementara itu, Edry Abdul Halim selaku Rock Master dan juri berkata, kelebihan memang berpihak kepada Mel berbanding Azmi.

Menurut Edry, dia sedikit kecewa dengan persembahan Azmi walaupun peserta itu memiliki ciri-ciri juara.

“Untuk final, kami menilai prestasi mereka pada malam ini (kelmarin) saja tanpa dipengaruhi persembahan minggu sebelumnya.

“Saya akui Mel sangat cemerlang apabila berjaya mengatasi peserta lain dari segi teknikal nyanyian. Di situ kelebihannya yang memberikan markah bagus buatnya.

“Saya agak kecewa dengan persembahan Azmi terutama pada lagu kedua. Dia ada masalah ‘pitching’ yang memberi kesan terhadap markah keseluruhannya,” katanya.

Pada pusingan pertama, Azmi memukau penonton dengan kehebatan vokalnya menerusi lagu Jangan Kau Rayu (Rahim Maarof).

Mel pula mendendangkan Bintang Kehidupan (Nike Ardilla), Zarith (Kejoraku Bersatu - Search) dan Dian (Romancinta - Mojo).

Pada pusingan kedua, Mel dan Dian bergabung menyanyikan lagu Total Eclipse of the Heart (Bonnie Tyler) manakala Azmi dan Zarith dengan lagu Mendung Tak Bererti Hujan (Ella & Deddy Dores).

Dihoskan Alif Satar dan Sherry Al-Hadad, pentas final Rockanova turut dihangatkan dengan penampilan Datuk Ramli Sarip, Sahara Yaacob dan Wings yang memberikan persembahan cukup bertenaga.

Tidak ketinggalan, Ella pula menjadi artis pembukaan sebelum menduduki kerusi juri bersama Awie dan Siti Elizad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 3:33 AM