FORUM mengenai buku 12x12 Album Cover Design by Tapa.
TAPA (dua dari kanan) memberi penerangan kepada Ramli dan Uwei mengenai bukunya.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Tidak mahu hasil karyanya diciplak, pereka grafik Mustaffa Ahmad Hidzir, 62, atau lebih dikenali sebagai Tapa tampil melancarkan buku dan pameran yang diberi nama 12 x 12 Album Cover Design by Tapa.

Sejak lewat 1970-an dan era piring hitam, Tapa aktif menghasilkan rekaan kulit album penyanyi popular antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Carefree, Datuk DJ Dave, Noorkumalasari, Datuk Ramli Sarip, Search, Wings, Man Bai dan Hillary Ang.

Mengulas mengenai pameran itu, Tapa berkata, ia bermula sejak 15 Mei dan akan berakhir pada 4 Jun depan.

“Melalui pameran ini saya tunjukkan segala hasil kerja dalam menyiapkan kulit album dari awal hingga selesai proses pembuatannya.

“Saya juga mahu orang ramai tahu hasil kerja saya supaya ia tidak diciplak pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga sesuai untuk generasi muda yang mahu menceburi bidang penghasilan kulit album dalam mendapatkan ilham,” katanya pada majlis pelancaran buku serta pameran berkenaan di Galeri Seni MaTIC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Pameran berkenaan turut mendapat kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).

Pada majlis itu turut diadakan forum mengenai hasil kerja Tapa bersama beberapa panel jemputan antaranya Ramli Sarip dan pengarah popular U-Wei Saari.

Bagi yang ingin mendapatkan buku pula ia dijual pada harga RM90 dan boleh dibeli secara online dengan melayari laman web www.itbm.com.my.

Sementara itu, Ramli yang pernah menggunakan khidmat pereka grafik itu berkata, Tapa seorang yang berkaliber dan mempunyai cita rasa. Malah dia tahu apa yang diinginkannya.

“Ketika Tapa menghasilkan kulit album saya berjudul Syair Timur, dia tahu apa yang terbaik dan saya mahukan.

“Saya hanya memberikan bayangan dan Tapa berjaya membuat lebih daripada apa yang saya inginkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 3:22 AM