KETIKA sesi latihan.
KETIKA sesi latihan.
POSTER Projek KAMU 5.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Projek Karya Anak Muda atau lebih dikenali sebagai Projek KAMU 5 menyediakan ruang kepada pelajar pelbagai fakulti meneroka bidang teater dan pengurusan teater di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Ia dianjurkan bagi mengasah bakat terpendam selain menambah skil dalam jurusan yang diambil pelajar terbabit.

Malah, ia turut menyediakan ruang untuk pelajar mengetengahkan idea baru dalam persembahan teater skrip hasil cetusan ilham dan tulisan mereka akan digunakan untuk pementasan ini.

Tahun ini, projek yang berlangsung buat kali kelima dipentaskan selama lima hari lima malam.

Selain itu, ia juga bakal mempersembahkan lima karya teater pendek berdurasi 20 hingga 25 minit.

Pengarah projek, Azizul Haqim berkata, Projek KAMU 5 adalah hasil karya anak muda yang dicungkil dan dipentaskan dengan tujuan mengasah kreativti mereka.

“Bukan hanya mencari karya, kami juga memberi peluang kepada pelajar yang berbakat dalam bidang pengarahan dan lakonan untuk menonjolkan kemampuan mereka.

“Untuk kali ini, kami memilih lima hasil karya terbaik iaitu Wahyu, Perang, Kisahnya, Bidadari Bertopeng Anjing dan Salah Faham di Awan Biru,” katanya.

Azizul berkata, program anjuran Anomalist Piece ini bukan hanya fokus kepada penulisan skrip, pengarah dan lakonan semata-mata sebaliknya ada pelbagai lagi kelebihan.

“Anomalist Piece adalah sebuah Kelab Pengurusan Seni bagi pelajar yang berminat menguruskan acara seni terutama teater.

“Kami selaku ahli kelab Pengurusan Seni ini mahu mencipta kelainan dengan memecah rekod persembahan selama lima hari,” katanya.

Biarpun menampilkan karya persembahan pelajar, Anomalist Piece turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai menyaksikan Teater KAMU 5 sebagai tanda sokongan.

Ia akan dipentaskan di Dewan Resital Panca Sakti, Pusat Kebudayaan, UiTM Shah Alam pada malam ini (17 Mei) hingga 21 Mei ini (Ahad) jam 8 malam.

Maklumat lanjut mengenai teater ini boleh didapati menerusi Instagram dan Twitter @anomalistpiece.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 3:20 AM