LORDE
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Selalunya pencipta lagu menggunakan pengalaman hidup atau isu semasa untuk menghasilkan karya.

Berbeza pula dengan penyanyi Lorde, 20, yang menjadikan makhluk asing sebagai sumber inspirasi mencipta lagu.

Menurut penyanyi kelahiran New Zealand itu, bercerita mengenai makhluk asing membolehkan dia ‘melupakan’ album sulungnya, Pure Heroine yang diterbitkan pada 2013.

“Saya masih teringat menulis mengenai langkah pertama keluar dari kepompong. Makhluk asing ini tinggal di tempat yang terasing dan tertutup dari dunia luar.

“Oleh itu, bagaimana rasanya apabila kali pertama makhluk itu keluar dari tempatnya?,” katanya dalam temu bual bersama majalah Rolling Stone.

Pemilik nama sebenar Ella Marija Lani Yelich-O’Connor ini turut memberitahu dia enggan mendengar Pure Heroine walaupun masih menyanyi lagu dari album terbabit di konsert.

“Saya berasakan album ini seperti kanak-kanak. Album kedua ini seperti wanita muda dan saya dapat mendengar perbezaan antara kedua-duanya,” katanya.

Dalam pada itu, Lorde berkata, album kedua berjudul Melodrama sukar dihasilkan sehingga terpaksa berehat sebulan berikutan berasa cemas ketika rakaman.

“Produser Antonoff menyuruh saya pulang ke New Zealand. Semua orang di studio turut meminta saya segera balik.

“Saya berdepan kesukaran menulis dan merakam lagu baru kerana bimbang tidak dapat menghasilkan karya setanding lagu hit sebelum ini,” katanya.

Dalam temu bual berasingan, Lorde berkata, menari di atas kereta untuk rakaman klip video muzik Green Light adalah perkara paling pelik pernah dilakukannya.

“Agak sukar untuk menari di atas bumbung kereta pada jam 3 pagi. Kereta bukan dicipta untuk gadis menari seperti orang gila di atasnya,” katanya.

Album Melodrama akan dilancarkan pada 16 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 3:18 AM