Aqasha menafikan dakwaan rumah tangganya bergolak selepas dikatakan menjalin hubungan dengan Rita Rudaini seperti heboh diperkatakan netizen ketika ini.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PELAKON Aqasha menafikan dakwaan rumah tangganya bergolak selepas dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon Rita Rudaini seperti heboh diperkatakan netizen ketika ini.

Aqasha, 35, ketika ditemui berkata, hubungannya dengan isteri, Baizura Sabri dalam keadaan baik ketika ini.

"Hubungan kami baik-baik saja ketika ini. Sebagai lelaki beragama Islam, saya tahu apa yang patut saya lakukan.

"Saya juga tidak boleh menghalang andaian atau persepsi orang berhubung dakwaan itu," katanya ketika ditemui di Petaling Jaya.

Aqasha berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berhubung keretakan rumah tangganya yang dibina sejak tujuh tahun lalu.

Rumah tangga pelakon itu dikatakan bergolak apabila Baizura memuat naik paparan skrin perbualannya dengan Rita di laman sosial awal April lalu.

Ditanya mengenai hubungannya dengan Rita, Aqasha berkata, dia tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan pelakon itu selepas ini.

"Saya seorang yang profesional ketika bekerja. Sekiranya ada tawaran untuk berlakon sama dengan Rita pada masa akan datang, saya tidak ada masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 7:51 PM