Indah belum sedia beri penjelasan
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI Indah Ruhaila belum bersedia untuk memberi penjelasan mengenai status pertunangannya dengan lelaki dikenali sebagai Mr R selepas majlis pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung Mac lalu ditangguh.

Indah, 30, ketika dihubungi berkata, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan menyebabkan majlis pernikahannya itu ditangguh.

"Memang ia sepatutnya berlangsung pada Mac lalu seperti yang saya maklumkan kepada semua rakan media. Namun, atas beberapa sebab ia terpaksa ditunda ke tarikh lain.

“€œWalaupun sudah merancang lama, ada beberapa perkara yang belum selesai dan ia terlalu peribadi untuk saya kongsikan kepada umum," katanya.

Menurut penyanyi lagu Percayalah ini lagi, dia hanya mampu merancang dan hanya Tuhan yang akan menentukan sama ada ia akan berlaku atau masih memerlukan waktu.

"Doakan yang terbaik untuk saya dan tunang. Semoga semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Indah dalam temubual sebelum ini memaklumkan dia akan melangsungkan pernikahan pada Mac lalu.

Penyanyi itu bertunang pada 2013 iaitu sebulan sebelum Indah menyertai program realiti Akademi Fantasia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 7:27 PM