AMIRA Othman.
Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


Penyanyi Amira Othman, 24, tidak pernah menganggap adiknya, Irfan Haris Othman, 15, yang popular dengan lagu Redha sebagai pesaingnya.

Menurut Amira, sebagai satu keluarga, mereka saling menyokong dan dia juga tidak pernah mencemburui kejayaan Irfan, malah tumpang gembira serta bangga dengan pencapaian adiknya itu.

“Tiada istilah siapa yang lebih popular dan berjaya. Ketika Irfan berusia 10 tahun dia pernah mencuba nasib dalam program Idola Kecil musim keempat tetapi tidak berjaya ke final membuatkannya sedih.

“Waktu itu saya selalu ada di sisinya memberikan kata-kata semangat. Kami berkongsi minat sama dan sebelum saya menyertai Akademi Fantasia 2013 (AF2013) kami selalu menyertai pertandingan nyanyian di Johor.

“Selepas puas mencuba saya berjaya ke AF2013 dan menang tempat ketiga. Di sinilah saya sekarang dan itu pun ia bukan satu perjalanan yang mudah,” katanya.

Amira kini mempunyai tiga single iaitu Hati-Hati, Sesaat Untukmu dan Jaga-Jaga. Dia juga bertuah apabila lagu Hati-Hati dipilih sebagai lagu tema drama Sha dan Shah.

Selain itu, lagu Jaga-Jaga pula dipilih sebagai lagu tema drama Abang Bomba I Love You manakala Amira turut berlakon membawa watak utama dengan Hisyam Hamid.

Menurut Amira, lebih sukar perjalanan yang dilaluinya membuatkan dia lebih menghargai apa yang dimilikinya sekarang.

Dia juga tidak gentar berdepan kebanjiran bakat baru dalam bidang seni kerana apa yang lebih penting ialah fokus kepada kerjaya, buat yang terbaik untuk diri sendiri dan peminat.

Kalis gosip dan kontroversi

Dalam tempoh empat tahun bergelar artis, Amira bukan saja bertambah matang, malah kalis gosip serta kritikan.

Dia juga didakwa berlakon seperti ‘kayu’ dalam Abang Bomba I Love You.

“Jika tidak boleh dikritik macam mana saya nak pandai. Setiap apa yang kita mahu lakukan mesti ada titik awal dan Abang Bomba I Love You adalah percubaan pertama saya.

“Walaupun lakonan bukan minat utama berbanding menyanyi, saya akan terima tawaran berlakon kerana bagus juga jika dapat meneroka bidang baru,” katanya.

Amira akan ke lokasi drama Abang Bomba I Love You Raya untuk tayangan Syawal ini dan dia juga merancang merakamkan single terbaru.

Kali ini dia bakal mengetengahkan lagu ciptaan Amir Jahari yang berjudul Sampai Mimpi.

Dalam pada itu, jika ada yang menjadikan media sosial sebagai medium untuk meluahkan perasaan tetapi tidak bagi Amira.

“Media sosial bukan tempat yang sesuai untuk kita berkongsi segalanya. Saya masih ada ibu bapa untuk mengadu.

“Bukan saya tidak sanggup untuk berhadapan netizen tetapi bukan semua benda kita boleh berkongsi dengan orang lain. Soal sama ada orang suka atau tidak dengan saya, itu lumrah manusia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 3:37 AM