BATMAN Malaysia bersama Batpod. FOTO/SYARAFIQ ABD SAMAD
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

BATMAN adalah adiwira fiksyen yang pertama kali muncul di televisyen dalam Komik Detektif pada Mei 1939 di Amerika Syarikat.

Ternyata kemunculannya mencetuskan fenomena apabila ramai meminati watak itu. Bagi mereka yang obses pastinya menyimpan impian menjadi seperti adiwira berkenaan.

Malaysia juga tidak tinggalan apabila ada seorang lelaki menjelmakan dirinya sebagai Batman Malaysia sejak tahun lalu.

Kemunculannya di khalayak dengan mengenakan lengkap pakaian Batman (batsuit) versi Dark Night Movie bagaikan fantasi di alam realiti seolah-olah membawa kita bersama ke Gotham City iaitu tempat Batman beroperasi.

Lebih-lebih lagi penampilannya bertubuh sasa, gaya berjalan, cara mengendalikan motosikal Batman (Batpod) dan suaranya seperti Bruce Wayne iaitu identiti rahsia Batman.

Lelaki ini lebih selesa merahsiakan identitinya dan hanya mahu dikenali sebagai Batman Malaysia. Beliau turut mengenakan batsuit ketika sesi temu bual bersama penulis di Klang, Selangor, baru-baru ini.

Ramai tidak mengetahui dirinya sebenar meskipun banyak yang teringin melihat wajah di sebalik topeng itu.

Pilihannya menjadi Batman Malaysia kerana memenuhi minat terhadap adiwira itu sejak kecil. Namun, ada ‘penderitaan’ yang terpaksa ditanggung setiap kali memakai kostum batsuit tapi perlu bertahan dan cabaran itu bukan halangan demi menghiburkan orang ramai.

Malah wajahnya pernah bertukar warna menjadi kebiru-biruan akibat kekurangan oksigen kerana memakai kostum itu terlalu lama iaitu selama tiga jam untuk satu persembahan.

“Perubahan ini disedari rakan yang segera meminta saya buka kostum dan topeng. Sebaik saja menanggalkannya (kostum) kaki saya pula menjadi kejang.

“Kostum ini diperbuat daripada kulit manakala topengnya pula getah. Ia agak sendat membuatkan saya berasa panas apabila memakainya terlalu lama,” katanya kepada Nuansa.

Menurutnya, sukar untuknya berkongsi cerita yang sebenar bahawa pemakaian kostum itu adalah satu ‘azab’ kerana bimbang dikatakan besar kepala.

“Tapi mereka yang pernah berjumpa dan berbual dengan saya saja tahu situasi sebenar serta ‘penderitaan’ ini. Topeng ini umpamanya, ia diperbuat daripada getah dan apabila memakainya saluran pernafasan pada hidung sedikit tersekat.

“Jadi saya perlu menggunakan teknik pernafasan yang betul supaya dapat bernafas dengan baik sepanjang tempoh memakai kostum ini,” katanya dan mengakui tempoh masa paling ideal beliau memakai kostum berkenaan ialah satu jam.

Jelasnya, dia mula meminati watak Batman sejak berusia lima tahun dan pada masa itu sering berdoa supaya impiannya untuk menjadi Batman Malaysia tercapai.


IDENTITI Batman Malaysia dirahsiakan. FOTO/SYARAFIQ ABD SAMAD

“Saya sangat bersyukur kerana Allah sudah memperkenankan doa saya dan kini menjadikan ia sebagai aktiviti kebajikan untuk menghiburkan kanak-kanak.

“Pada masa sama saya turut dipertemukan dengan rakan yang kini menjadi satu pasukan untuk membantu melaksanakan aktiviti amal ini,” katanya.

Batman Malaysia ini pertama kali muncul di khalayak ramai dari Plaza Tol Sungai Besi ke Nilai, Negeri Sembilan bersama Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM) Abdul Rani Kulup pada April tahun lalu.

Kemunculannya menyebabkan Lebuh Raya Utara Selatan mengalami kesesakan kerana orang ramai memperlahankan kenderaan masing-masing lantaran teruja melihat Batman Malaysia bergaya menunggang Batpod Batman.

Katanya lagi, bukan mudah mengendalikan Batpod Batman kerana motosikal terbabit sangat berat bagaikan memandu kereta.

“Pemegang motosikal ini pada tayar dan bukan seperti motosikal yang lain. Ini satu lagi cabaran yang perlu saya lalui kerana perjalanan dari Plaza Tol Sungai Besi ke Nilai yang jaraknya hanya 20 kilometer dirasakan seperti perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan,” katanya.

Selain itu jelasnya, Batpod Batman adalah ciptaan anak tempatan, Omar Jumiran, 48, dari Kajang menggunakan besi terpakai.

“Saya bekerjasama dengan Omar dan Syarikat Eastern Bobber untuk mempopularkan motosikal ini. Kini ia dibeli seorang pembeli yang turut merahsiakan identitinya selain peminat tegar Batman.

“Terbaru motosikal dinamakan Bone X ini terpilih menyertai Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas AMD 2018 di Cologne, Jerman pada Oktober ini,” katanya.

Menurutnya, Omar turut berada di Jerman yang mewakili Malaysia bersaing dengan peserta dari 20 negara dalam kategori acara bebas.

“Uniknya Bone X ini menggabungkan rekaan masa depan, klasik dan menggunakan enjin AJS satu silinder berkapasiti 350cc tahun 1967.

“Rekaan klasik ditonjolkan pada tempat duduk motosikal ini yang menampilkan corak anyaman tikar diperbuat daripada besi,” katanya.

Dalam pada itu, dia berhasrat menjelajah satu Malaysia memakai kostum bersama Batpod bagi memberi peluang kepada kanak-kanak melihat watak adiwira secara lebih dekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 4:00 AM