MOHAMED Faroz bersama pelanggan sempena Jualan Jumbo Jakel.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Buntu membuat keputusan untuk memilih kain selari cita rasa dek rambang mata melihat terlalu banyak pilihan. Itu senario biasa yang dialami ramai orang setiap kali memasuki mana-mana gedung tekstil.

Bagaimanapun, masalah itu tidak akan berlaku jika membeli-belah di pusat gedung tekstil terkenal, Jakel kerana pusat berkenaan memberi layanan kelas pertama kepada pelanggannya.

Ia menerusi pendekatan satu jurujual, satu pelanggan di mana jurujual sentiasa bersedia membantu pelanggan dan melayan mereka bagaikan ‘raja’ hingga selesai membeli-belah.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamed berkata, konsep itu dilaksanakan sejak 2004. Dikatakan hanya Jakel sebagai syarikat tekstil di negara ini yang mengamalkan konsep berkenaan.

Beliau berkata, setiap jurujual mempunyai kemahiran dan ilmu pengetahuan berkenaan jenis fabrik.

Mereka bertindak sebagai pemudah cara membantu pelanggan membuat pilihan tepat dan terbaik.

“Di Jakel Mall (Kuala Lumpur) kami mempunyai 800 jurujual dan ada lebih 6,000 jurujual di 21 cawangan seluruh negara.

“Kami turut menyediakan khidmat perunding percuma di Jakel bagi pakaian pengantin, fabrik bersesuaian untuk majlis keraian dan langsir dengan perkhidmatan menjahit.

“Jadi pelanggan boleh mendapatkan semua produk ini di bawah satu bumbung yang memudahkan mereka berbelanja dalam keadaan selesa,” katanya selepas mengumumkan Jualan Jumbo Jakel Setahun Sekali 2018 yang berlangsung dari 24 September hingga 15 Oktober ini.

Menurutnya, idea konsep ini tercetus apabila Jakel cawangan Segamat, Johor menjadi tumpuan pelanggan dari pantai timur datang ke pusat berkenaan untuk membeli-belah dalam kumpulan yang ramai.

“Dari situ, kami menyedari pelanggan mahukan layanan berterusan untuk memudahkan mereka berbelanja terutama membantu membuat pilihan.

“Setiap bangunan gedung Jakel mempunyai banyak tingkat dan produk.

Sudah tentu pelanggan akan selesa bersama jurujual yang dapat memberikan perkhidmatan hingga selesai membeli-belah,” katanya.


JAKEL sentiasa menjadi tumpuan dan pilihan orang ramai untuk membeli-belah.

Selain itu, beliau berkata, Jakel satu-satunya syarikat tekstil yang mempunyai francais dengan lima daripada 21 cawangan itu milik penuh syarikat berkenaan.

“Kewujudan kami memberi impak besar kepada ekonomi negara di samping membuka peluang kepada Bumiputera untuk menjadi peniaga berjaya menerusi francais.

“Kami memberi khidmat kepada francaisi bermula daripada cara menguruskan perniagaan hingga kepada konsep sebuah gedung yang sama dengan ibu pejabat Jakel (Jakel Mall) dari segi produk dan harga,” katanya yang tidak menafikan perniagaan itu adalah jihad ekonomi Islam.

Katanya, produk Jakel adalah eksklusif kerana tidak boleh didapati di tempat lain yang dihasilkan 60 pereka syarikat itu yang berkemahiran.

“Terbaru, saya baru pulang dari Paris, Perancis untuk membeli teknologi perisian terkini bagi menghasilkan reka bentuk warna lebih tepat menggunakan komputer.

“Teknologi baru ini akan menghasilkan cetakan warna sama seperti dalam komputer. Ini salah satu usaha pembaharuan dan menambah baik produk di sini bagi memenuhi selera serta pilihan pelanggan,” katanya.

Selepas membuka cawangan di Bangi pada Januari lalu, Jakel mengorak lagi langkahnya apabila bakal membuka satu lagi cawangan terbarunya di Miri, Sarawak pada penghujung tahun ini. Kira-kira RM15 juta dilaburkan untuk tujuan itu yang dijangka mampu menarik pelanggan dari Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 5:59 AM