Nor ‘Asyikin Mat Hayin
asyikin.mat@hmetro.com.my

Pembangunan menjadi indikator kepada kemajuan yang dicapai bagi sesebuah negara.

Ada yang menilai kemajuan itu berdasarkan berapa banyak bangunan pencakar langit yang terdapat di negara terbabit. Ini kerana ia menunjukkan pencapaian sebagai negara maju atau ke arah negara maju.

Di Malaysia, kewujudan bangunan akan memacu pertumbuhan ekonomi yang sekali gus menarik lebih ramai pelabur asing ke negara ini.

Namun, di sebalik kepesatan proses perbandaran, ada kelompok yang terkesan dan terpaksa bergelut kesusahan untuk meneruskan kehidupan.

Mereka ialah golongan miskin bandar yang kebanyakan menetap rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di beberapa lokasi di ibu negara.

PPR adalah satu program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dengan jumlah pendapatan isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

Realiti kehidupan penduduk di PPR adalah sukar dan ada yang hidupnya boleh diibaratkan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Ditambah pula kebanyakan mereka memiliki ramai anak.

Kemiskinan yang diwariskan daripada datuk, bapa hingga ke anak menjadikan mereka golongan yang ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan mahupun sosial.

Ia umpama kitaran warisan kemiskinan yang sukar dihentikan dan jika trend itu berterusan, ia akan menjejaskan agenda membentuk negara maju disebabkan mempunyai ramai penduduk miskin.


GERAI niaga peserta program membasmi kemiskinan di PPR Sungai Bonus.

Oleh itu, Yayasan Hasanah (Hasanah) iaitu sebuah yayasan berasaskan impak milik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bekerjasama dengan Yayasan Sejahtera (YS) mengambil langkah proaktif melaksanakan projek membasmi kemiskinan menggunakan Pendekatan Berasaskan Komuniti (CBA).

CBA adalah satu model pendekatan untuk menangani masalah keperluan komuniti miskin bandar dan luar bandar secara holistik.

Ia bertujuan memperkasakan komuniti itu supaya lebih berdaya maju dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Pada 2016, pendekatan CBA mula dilaksanakan di PPR Sungai Bonus, Setapak, Kuala Lumpur dan Kampung Pinggan Jaya, Kucing, Sarawak selama lima tahun.

Pengarah Urusan Yayasan Hasanah Shahira Ahmed Bazari berkata, 30 suri rumah di PPR Sungai Bonus dipilih sebagai peserta projek perintis berkenaan untuk membantu mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Menurut Sahira, pihaknya memberikan sejumlah peruntukan kepada YS yang berperanan sebagai tulang belakang kepada projek berkenaan ke arah membina komuniti mampan.

“Ada tiga peringkat pelaksanaan CBA. Pada peringkat pertama YS menjadi penggerak utama bagi projek pilot ini dengan mengadakan program mengikut komuniti di kawasan terbabit dan suri rumah umpamanya diberikan latihan keusahawanan.

“Peringkat kedua, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit bersama mengadakan aktiviti secara holistik. Hanya satu NGO (YS) bertindak sebagai pemantau dan memberi sokongan.

“Untuk peringkat ketiga, yayasan akan memberi latihan untuk memperkasakan ketua komuniti supaya mereka boleh menjadi pemimpin memperjuangkan hak penduduk,” katanya.

Katanya, jika pendekatan itu berjaya, pihaknya akan mengemukakan kepada kerajaan supaya satu polisi dibentuk dengan harapan impak projek berkenaan menjadi lebih lestari dan holistik dalam memperkasakan komuniti miskin.


PENDUDUK berniaga kecil-kecilan di kawasan flat.

Sementara itu Pengerusi YS Tan Sri Faizah Mohd Tahir pula berkata, fokus utama projek terbabit dilaksanakan ialah untuk membantu kumpulan miskin tegar keluar daripada belenggu kemiskinan.

“Mereka tidak hanya diberikan wang semata-mata tapi turut dibantu dalam aspek lain seperti kemahiran dan pendidikan kerana kemiskinan bersifat multidimensi.

“Oleh itu, dalam projek ini kami memberikan ilmu keibubapaan kepada ibu bapa, latihan keusahawanan kepada suri rumah dan kelas tuisyen untuk anak,” katanya.

Lebih mengujakan kata Faizah, projek itu menunjukkan kesannya apabila pendapatan penduduk iaitu peserta program berkenaan meningkat sebanyak 30 peratus.

Jelas beliau, prestasi akademik anak juga menunjukkan peningkatan apabila peratusan murid lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) meningkat kepada 83.7 peratus berbanding 67.6 peratus sebelum ini.

Begitu juga keputusan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang mencatatkan peningkatan gred lebih baik iaitu 55 peratus, tahun lalu.

Beliau berkata, pendekatan CBA begitu istimewa kerana ia adalah program mengurangkan kemiskinan yang pertama dengan konsep begitu di negara ini. Hasanah dan YS merancang untuk memperluaskan model itu kepada komuniti lain di negara ini.


YAYASAN Sejahtera memberi kelas tuisyen Bahasa Inggeris dan Matematik percuma.

Dalam pada itu, peserta dan penerima manfaat model CBA, Jariah Pajri, 46, berkata, dia menjalankan perniagaan kedai serbaneka disalah satu dari 30 gerai yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di kawasan berkenaan dua tahun lalu.

Katanya, tidak lama selepas itu YS melaksanakan projek terbabit dengan memberikan kursus keusahawanan selama tiga bulan kepada peserta.

“Alhamdulillah, sejak dari itu (kursus keusahawanan) perniagaan kedai serbaneka yang saya usaha secara kecil-kecilan menunjukkan kemajuan.

“Perniagaan utama kedai ini ialah percetakan selain menjual dadih, pakej pelancongan dan memperbaharui lesen memandu,” kata ibu dua anak itu yang mengakui kini dia lebih memahami cara pengurusan perniagaan yang betul.

Dia yang dipilih sebagai ikon usahawan Sungai Bonus menerima bantuan peralatan perniagaan daripada YS seperti mesin pencetak, mesin pengikat buku, mesin pembungkusan makanan dan kanvas khemah.


JARIAH di kedai serbaneka miliknya.

Bagi Marina Ismail, 43, pula, dia bersyukur menjadi peserta projek itu kerana banyak merubah kehidupannya sekeluarga.

Katanya, dulu kehidupannya sukar kerana hanya bergantung pendapatan RM600 sebulan ketika bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk membesarkan tujuh anak.

“Kebetulan pada masa itu suami saya sakit dan tidak boleh bekerja menyebabkan kehidupan kami terlalu perit.

“Kini, saya berniaga menjual laksa, mi kari dan mi rebus di kios ini yang mampu meraih pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan,” katanya.


MARINA menyiapkan laksa pelanggan di gerainya.

Katanya, anak sulungnya turut membuka gerai menjual burger di kiosnya bagi mempelbagaikan menu makanan dan menarik lebih ramai pelanggan.

Seorang lagi peserta, V Shanti, 45, turut tidak melepaskan peluang dengan menjual nasi campur di kios berkenaan sambil dibantu dua anaknya bagi memberi pendedahan kepada mereka dalam bidang perniagaan.

“Dulu, saya berniaga kecil-kecilan menjual nasi lemak di kawasan rumah pada waktu pagi bagi menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Katanya, jika tidak menjadi peserta projek berkenaan berkemungkinan masih tiada perubahan dalam keluarganya.

“Saya mempunyai impian mahu keluar daripada kemiskinan bandar dan membina kehidupan lebih baik,” katanya.


PENDUDUK PPR Sungai Bonus yang mengikuti kursus keusahawanan selama tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 11:01 AM